Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

K'jaan, polis rayu keputusan benarkan isteri akses laporan kehilangan Amri

Kerajaan dan polis memfailkan notis rayuan di Mahkamah Rayuan bagi menghalang isteri Amri Che Mat daripada mendapat akses terhad laporan pasukan petugas khas sulit mengenai kehilangan paksa aktivis itu pada 2016.

Peguam Larissa Ann-Louis hari ini mengesahkan kerajaan dan polis selaku responden telah memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 9 Mei lalu yang membenarkan Norhayati Mohd Ariffin mendapat akses laporan itu, yang diklasifikasi di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972.

Peguam itu berkata, Mahkamah Tinggi minggu lalu turut membenarkan permohonan kerajaan dan polis minggu lalu untuk menangguhkan keputusan tersebut, sementara menunggu proses di Mahkamah Rayuan.

Ini bermakna responden masih tidak perlu memberikan akses laporan kepada Norhayati.

Pada 9 Mei lalu, hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh membenarkan permohonan Norhayati untuk mengakses laporan itu bagi mengukuhkan tindakan sivil berkaitannya terhadap polis dan kerajaan persekutuan berhubung kehilangan suaminya sejak enam tahun lalu.

Pada 26 Jun 2019, dua bulan setelah Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) membuat kesimpulan bahawa Amri adalah mangsa kehilangan paksa polis, Kementerian Dalam Negeri membentuk satu pasukan petugas khas untuk menyiasat semula perkara itu.

Bagaimanapun, terdapat kekurangan maklumat terkini mengenai laporan itu, menyebabkan kumpulan masyarakat sivil The Citizens Against Enforced Disappearances (Caged) pada 2021 menggesa kerajaan mendedahkan penemuan pasukan petugas itu.

Pasukan petugas itu dibentuk semasa pentadbiran Pakatan Harapan yang diketuai oleh perdana menteri ketika itu Dr Mahathir Mohamad pada 2019.

[Baca berita asal]