Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Penambahbaikan PSC bagi bantu k'jaan tangani isu rakyat - Speaker

PARLIMEN | Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul hari ini berkata penambahbaikan yang dilakukan terhadap fungsi 10 Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen akan memperluaskan peranan jawatankuasa itu untuk membantu kerajaan dalam menangani isu yang dikenal pasti di bawah bidang tugasnya.

Secara khususnya, Johari berkata pembaharuan yang diluluskan termasuk pembiayaan khusus daripada parlimen, dua penyelidik atau kakitangan sepenuh masa, menyediakan ruang kerja dan meluaskan kuasa jawatankuasa untuk menjalankan urusannya.

“Kami berharap jawatankuasa ini dapat membantu kabinet menyelesaikan pelbagai masalah dari semasa ke semasa.

“Saya yakin peranan yang dimainkan oleh pengerusi-pengerusi PSC ini dan ahli-ahli mereka boleh menawarkan penyelesaian yang lebih baik untuk rakyat, dan diharapkan ada perkara-perkara lama tertunggak yang kini boleh diselesaikan,” kata Johari semasa sidang media di pejabatnya selepas pertemuan dengan sembilan daripada 10 pengerusi PSC.

Johari berkata 10 jawatankuasa itu - setiap satu terdiri daripada seorang pengerusi dan sembilan ahli - dibahagikan untuk melihat kepada dua atau tiga bidang utama di semua 29 kementerian.

Sembilan ahli itu mewakili enam ahli parlimen kerajaan dan tiga daripada pembangkang, komposisi dwiparti yang menurut Johari akan membawa kepada pandangan menyeluruh tentang isu yang dihadapi.

“Perkara itu tidak akan dilihat dari sudut politik, sebaliknya sebagai isu nasional dan hak rakyat,” tambahnya.

“Ada perkara yang mungkin terlepas pandang oleh kementerian dan tidak diberi keutamaan.

“PSC boleh bertindak sebagai mata dan telinga tambahan untuk orang ramai...,” katanya.

Johari berkata syarat tunggal yang dikenakan kepada jawatankuasa itu ialah pengerusi masing-masing memaklumkan secara rasmi kepadanya sebelum memanggil mana-mana pihak.

Ini, katanya, bagi mengelak pertindihan fungsi dengan badan parlimen lain termasuk Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara.

Selanjutnya, Johari menjelaskan bahawa PSC boleh bekerjasama dengan kementerian di bawah bidang kuasa mereka, sebagai contoh untuk mewajarkan permintaan lebih banyak peruntukan daripada Kementerian Kewangan sebagai cadangan penyelesaian kepada masalah yang dikenal pasti.

Daripada 10 jawatankuasa itu, lapan diketuai Ahli Parlimen kerajaan manakala dua lagi diketuai pembangkang - Ahli Parlimen Indera Mahkota Saifuddin Abdullah (Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia); Ahli Parlimen Kuala Terengganu Ahmad Amzad Hashim (Alam Sekitar, Sains dan Perladangan).

Daripada bangku kerajaan, antara pengerusi termasuk Ahli Parlimen Kuala Selangor Dr Dzulkefly Ahmad dan Ahli Parlimen Subang Wong Chen, masing-masing ditugaskan untuk menyelia portfolio menteri mereka sebelum ini mengenai kesihatan serta perdagangan antarabangsa dan Industri.

Baki enam kerusi ialah Ahli Parlimen Paya Besar, Shahar Abdullah (Kewangan dan Ekonomi); Rasah, Cha Kee Chin (Perdagangan Dalam Negeri, Keusahawanan, Kos Sara Hidup dan Pertanian); Tanjong Manis, Yusuf Abdul Wahab (Infrastruktur, Pengangkutan, Komunikasi); Puchong, Yeo Bee Yin (Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Masyarakat); Ranau, Jonathan Yasin (Keselamatan); dan Ahli Parlimen Selayang William Leong Jee Kin (Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi).