Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN l Sanusi, PAS langgar Perjanjian Tanah Melayu

ULASAN l Riuh rendah jadinya apabila Pulau Pinang dianggap masih milik Kedah oleh Menteri Besar, Muhammad Sanusi Md Nor. Mengambil alih Pulau Pinang menjadi cita-cita yang besar baginya.

Ramai sedar, dakwaan seumpama turut disebutkan oleh beberapa ahli akademik. Ada yang menyatakan, perjanjian Francis Light dengan Sultan Kedah bahkan tidak pernah wujud. Pulau Pinang didakwa tidak pernah diserahkan kepada British.

Gambar Hiasan - Francis Light

Barang diingat, kenyataan seorang ahli akademik, dengan seorang menteri besar akan memberi kesan yang sangat berbeza.

Apa yang tidak dijelaskan ialah di sepanjang era penjajahan, ada beribu-ribu perjanjian hitam-putih dibuat. Ketika kuasa Barat menetapkan fokus utama mereka ke Timur, termasuk ke rantau Asia Tenggara adalah untuk mencari keuntungan ekonomi, maka tidak sepanjang masa mereka memilih berperang. Dalam banyak keadaan, penjajah juga cuba menawan wilayah-wilayah dengan kertas perjanjian.

Strategi yang sama juga digunakan British ketika mahu menawan kawasan dari kaum pribumi di benua Amerika.

Pihak penjajah sedar, betapa di dalam peperangan, yang terkorban bukan sahaja kaum pribumi. Ramai yang turut mati ialah askar-askar mereka. Lantas, peperangan selalu menjadi pilihan terakhir.

Gambar Hiasan

Di Asia Tenggara, strategi sebegitu bukan sahaja berlaku di antara Kedah dan Pulau Pinang, yakni antara Sultan Abdullah dengan Francis Light pada penghujung abad ke-18. Pelbagai bentuk perjanjian lain juga wujud, misalnya apa yang pernah dilalui di dalam kerajaan Jogjakarta, Buton dan Surakarta.

Ketiga daerah berkenaan sehingga kini dianggap sebagai “Daerah Istimewa” (DI), atau dalam bahasa tempatan disebut sebagai “swapraja”. Ertinya, daerah-daerah itu di waktu penjahahan Belanda tetap menjalankan pemerintahan sendiri yang bersultan, ‘tanpa campurtangan kuasa asing’.

Yang mustahak bagi penjajah ialah mengaut keuntungan dari daerah-daerah swapraja. Misalnya di kepulauan Buton, Sulawesi Tenggara, bergenerasi sultannya membuat perjanjian dengan Belanda; hasil-mahsul dijual kepada Kampeni, dan; VOC juga boleh menggunakan pelabuhan Buton secara eksklusif.

Setiap kali seorang sultan wafat, pengganti yang naik takhta akan menandatangi perjanjian baharu - perjanjian dengan sultan yang wafat, diperkira terbatal.

Gambar Hiasan - Peta Lama Pulau Pinang

Selepas kemerdekaan Indonesia pada 1945, Presiden Soekarno memujuk daerah-daerah kesultanan tadi untuk bersama membentuk Indonesia Raya. Lima belas tahun kemudian, iaitu pada 1960, Kesultanan Buton pun setuju bergabung di dalam Republik Indonesia - kuasa sultan Buton ke-38, Sultan La Ode Muhammad Falihi, pun berakhir.

Demi kesatuan sebuah bangsa, kuasa Kesultanan Buton dileburkan dalam kesatuan republik yang merdeka. Hukum perjanjian memang begitu: apabila ada yang baru, maka yang lama sudah tidak sah lagi.

Sekiranya Sanusi terus-terusan menganggap perjanjian antara Francis Light dengan Sultan Abdullah sebagai titik rujukan terakhir yang mutlak, apakah Sanusi juga mahu menganggap dokumen yang terkemudian iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada Januari 1948 atau yang sangat penting pada Februari 1956 juga tidak wujud atau tidak sah?

Kalau memakai logik Sanusi yang mahu terhenti pada 1786,, maka penubuhan Malaysia 1963 juga dengan sendiri tidak perlu dihormati.

Gambar Hiasan - Perjanjian Malaysia

Dan kalau sungguh begitu, maka kesannya bakal seperti bom atom apabila konsep negara yang bernama Malaysia ini juga hancur berderai dan runtuh.

Di sinilah mudarat kata-kata seorang menteri besar, ketimbang seorang ahli akademik. Lebih mendukacitakan andai ucapan Sanusi hanya untuk bermain dengan sentimen kaum dan kenegerian sempit - demi memancing sokongan orang Kedah agar menyokong Sanusi dan mengundi PAS dalam PRN nanti.

Politik sebegitu, secara sedar atau tidak bakal meretakkan perpaduan kebangsaan kita. Kelak akan ada segelintir orang Kedah yang mula memperlekeh Pulau Pinang; dan ada pula orang Pulau Pinang yang naik darah serta geram terhadap Kedah.

Apabila rakyat kedua-dua negeri berbalah sesama sendiri, agaknya barulah Sanusi berpuas hati. Tetapi apakah polimik yang dicetuskan Sanusi dapat membantu Kedah untuk menjadi lebih maju dan makmur? Tidak, bukan!?

Sesiapa pun boleh faham, politik kenegerian sempit mainan Sanusi berakar daripada sentimen kaum dan kebencian warna kulit.

Gambar Hiasan

Sanusi hanya ingin membayangkan bahawa “Pulau Pinang itu Cina” yang ditadbir DAP, maka “Kedah yang Melayu” wajib mengambil-alihnya semula. Kedah dianggap Melayu atas ukuran ia kini ditadbir oleh parti ultra Melayu-Islam, iaitu PAS.

Demikian mesej yang tersirat—kalau dicermati ia sama sahaja dengan helah politik PM ke-4, Mahathir Mohamad dahulu yang selalu mengungkit-ungkit dan mencari pasal dengan Singapura. Di mata Mahathir, Singapura perlu dilawan kerana “Singapura Cina”, dan Malaysia perlu menjadi ‘superior’ kerana “Malaysia Melayu”.

Berpuluh tahun, ada orang Melayu yang termakan dan terperangkap dengan faham Mahathirisme. Walaupun di dalam dada mereka berkobar-kobar api, tetapi api itu hanya membakar diri sendiri - tidak menguntungkan bangsa dan negara. Ia lebih banyak mudarat dari faedahnya.

Nasionalisme sempit yang dikahwinkan dengan api perkauman pada satu tahap bukan sahaja melagakan antara dua kaum, tetapi ia juga melagakan sesama satu kaum. Misalnya rakyat Korea Utara yang terus dimomokkan untuk membenci dan memusuhi warga Korea Selatan - sedangkan mereka asalnya adalah sebangsa sepusat sepusing.

Gambar Hiasan

Wajar dibimbangi suatu hari kelak, orang Melayu Kedah akan memusuhi atau membenci Melayu Pulau Pinang hanya atas pemisahan sempadan negeri. Sejarah yang perlu diluruskan ialah penyataan penjajah itu selalu penuh tipu daya; bukannya melihat kembali Pulau Pinang milik Kedah atau tidak. Jangan kala konon kita membenci penjajah, tetapi perangai kita sendiri menjadi macam penjajah.

Dalam perbandingan ini, Sanusi nampaknya turut sama bermain tipu muslihat dan mahu menganiaya orang Kedah dengan semangat kenegerian palsu, sedang kenyataannya Kedah terus tercecer berbanding banyak negeri-negeri lain di negara kita.

Polimik yang dicipta Sanusi tidak secubit pun menguntungkan pekebun, pesawah dan petani yang miskin di sana. Tidak juga menguntungkan anak-anak Kedah yang berulang-alik ke Pulau Pinang untuk mencari sesuap nasi. Dan ia jauh sekali dapat menjadikan Kedah negeri jelapang padi moden dengan tuaian yang melimpah seperti di Jepun atau sekurang-sekurangnya seperti di Sekinchan, Selangor.

Hasutan-hasutan Sanusi harus dihentikan. Catatan sejarah yang tidak boleh dinafikan ialah Sanusi naik sebagai MB ke-14 dengan secara ‘kemalangan’, dengan terkorbannya Mukhriz Mahathir sewaktu pengkhianatan Langkah Sheraton.

Rakyat Kedah tidak pernah membuat ‘perjanjian’ mahu mengangkat Sanusi atau PN di dalam pilihan raya - justeru pengundi Kedah juga berhak menariknya kembali tanpa perlu sedikit pun rasa berdosa. Insya-Allah tarikh bersejarah itu bakal tercatat di dalam PRN, Julai atau Ogos ini.

Di situlah Kedah bukan sahaja kembali berpadu dengan Pulau Pinang, bahkan bersama di dalam rumah besar perpaduan rakyat Malaysia. Masih belum terlambat untuk menyelamatkan Kedah.


HASMI HASHIM atau turut dikenali sebagai Budi Hekayat ialah seorang penulis lirik dan penyokong PKR.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.