Mahkamah tolak permohonan Zuraida untuk diisytihar presiden PBM
Mahkamah Tingg Kuala Lumpur menolak permohonan semakan kehakiman Zuraida Kamaruddin agar dia diiktiraf secara rasmi sebagai presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Hakim Amarjeet Singh menolak permohonan bekas ahli parlimen Ampang itu ketika prosiding hari ini.
Amarjeet berkata kehakiman tiada kuasa untuk melihat isu melibatkan hal ehwal parti, selaras dengan Seksyen 18C Akta Pertubuhan 1966.
"Mahkamah juga terikat dengan duluan yang ditetapkan Mahkamah Rayuan," katanya.
Zuraida sebelum ini memfailkan permohonan itu bagi mencabar keputusan Pendaftar Pertubuhan (ROS) tahun lalu yang mengiktiraf Ahli Parlimen Julau Larry Sng sebagai presiden PBM.
Dia mengambil tindakan itu susulan kemelut dalaman parti itu yang menyaksikan dia dan sepuluh lagi ahli PBM dipecat.
Dengan keputusan hari ini, mahkamah tidak akan mendengar merit semakan kehakiman yang dimohon Zuraida.
Menurut kertas kausa, Zuraida menuntut beberapa pengisytiharan, antaranya keputusan responden iaitu ROS yang mengekalkan Sng sebagai presiden PBM sebagai tidak sah dan tidak munasabah.
Dia juga memohon perintah mandamus untuk memaksa ROS mendaftar dan mengiktirafnya sebagai presiden PBM, berkuat kuasa mulai 7 Okt tahun lepas.
Antara hujah Zuraida adalah ROS bertindak cuai apabila tidak membuat penegasan bahawa dia adalah presiden parti, ekoran dakwaan gagal mempertimbang surat parti bertarikh 15 Oktober 2022 yang didakwa mengesahkannya sebagai pemegang jawatan itu.
Peguam Mohamed Ashmeer Ashrof mewakili Zuraida manakala Peguam Persekutuan M Kogilambigai mewakili Pejabat Peguam Negara dalam prosiding hari ini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai