KKM: Tabiat merokok di kalangan pelajar sekolah membimbangkan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melahirkan kebimbangan dengan trend merokok di kalangan generasi muda, selepas kajian yang dijalankan pihaknya mendapati lebih 43,000 pelajar sekolah menengah merokok.
Menterinya Dr Zaliha Mustafa berkata dengan jumlah yang direkodkan sangat tinggi, kerajaan perlu melaksanakan undang-undang yang berkesan untuk menghalang golongan belia daripada terus terjebak dengan tabiat merokok.
Menurut Dr Zakiha, kajian juga mendapati daripada saringan melibatkan dua juta pelajar sekolah rendah, sekurang-kurangnya 431 orang turut dikesan mengamalkan gaya hidup tidak sihat itu.
“Menerusi saringan yang dijalankan terhadap perokok bawah umur terutama di sekolah rendah dan menengah, kita mengenal pasti lebih 43,000 pelajar merokok. Itu yang kita amat bimbang.
“Baru-baru ini kita dikejutkan dengan penjualan vape di luar sekolah, golongan ini mudah tertarik dengan vape kerana warnanya, bentuknya dan baunya membuatkan kanak-kanak mahu mencuba.
"Jadi ini membuktikan usaha untuk menghentikan perkara ini juga perlu merentas kementerian,” katanya seperti dipetik Utusan Malaysia.
Zaliha berkata ini adalah sebab mengapa KKM akan meneruskan usaha untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dengan beberapa perubahan baru dan dinamakan sebagai RUU Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023.
RUU itu dijadual akan dibentang pada sidang Dewan Rakyat yang sedang berlangsung sehingga 15 Jun ini, katanya.
Mengulas lanjut mengenai RUU tersebut, Zaliha berkata ia hanya akan dikuatkuasakan ke atas individu yang lahir pada 1 Jan 2007 dan seterusnya.
RUU itu juga mencadangkan hukuman hanya dikenakan terhadap pembelian dan penjualan, dan penggunaan produk merokok yang melibatkan kumpulan sasaran.
Memiliki produk merokok tidak akan menjadi satu kesalahan di bawah RUU baru.
“Larangan pemilikan sebarang bentuk produk merokok kepada generasi penamat rokok (GEG) digugurkan dalam RUU baru ini, sebaliknya ia hanya berkaitan penjualan, pembelian dan penggunaan sahaja.
“Justeru, isu pemeriksaan badan kepada golongan GEG tidak terpakai memandangkan peruntukan pemilikan telah digugurkan,” katanya lagi.
Menurut Zaliha, nilai denda bagi kesalahan itu juga diturunkan kepada RM500 berbanding RM5,000 yang dicadangkan dalam RUU sebelum ini.
Mereka yang dihukum di bawah undang-undang ini juga tidak akan didaftarkan sebagai penjenayah.
“Ini kerana kita mahu ambil pendekatan untuk mendidik anak-anak yang menggunakan produk berkenaan.
“Tindakan ini lebih mendekat dan tidak patut dianggap sebagai jenayah. Kita mahu didik anak-anak supaya mereka tahu tindakan ini membawa kesan buruk kepada mereka,” katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai