Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ti: Kini DAP perlu mohon maaf pada semua ahli MCA

Naib Presiden MCA Ti Lian Ker menggesa DAP agar memohon maaf kerana menurutnya pernah mengecam parti itu ketika mereka mengenakan pakaian istiadat Melayu pada masa lalu.

Gesaan itu susulan laporan tokoh veteran DP akan menerima darjah kebesaran yang membawa gelaran Tan Sri esok, di mana dia dijangka akan mengenakan pakaian tersebut.

Gambar Lim mengenakan songkok turut ketika raptai acara turut disebarkan di media sosial. Ti turut memuat naik gambar itu dalam hantarannya di Facebook.

"Saya rasa bangga 'Tan Sri Lim' akhirnya memakai songkok sebagai pakaian protokol dan istiadat.

"Saya masih ingat lagi Adun Triang (dari DAP) Leong Ngah Ngah telah enggan memakai pakaian seragam Adun semasa istiadat dan songkok atas alasan larangan parti semasa Kit Siang jadi setiausaha agong.

"Secara terbuka saya ingin memohon pada DAP untuk memohon maaf pada MCA dan semua ahli MCA yang dipanggil sebagai 'anjing Umno' dan pengkhianat kerana menerima adat resam dan pakaian seragam yang berlandaskan tradisi Melayu," katanya.

Lim akan menerima darjah kebesaran itu sempena hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah yang ke-64.

Ahli politik berusia 82 tahun itu bakal menjadi pemimpin DAP pertama yang dianugerahkan gelaran Tan Sri.

Mengulas lanjut, Ti berkata jika DAP boleh memohon maaf kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Umno sebelum ini, parti itu juga boleh berbuat demikian dengan MCA.

"Mengapa DAP tidak meminta maaf kepada MCA dan MIC yang menjadi sasaran serangan utama mereka kerana bekerjasama dengan Umno demi mencari titik pertemuan masyarakat kita yang pelbagai.

"Semangat meminta maaf ini adalah cara terbaik ke arah penyatuan dan pengukuhan kerajaan perpaduan BN/PH ke arah pilihan raya negeri (PRN).

"Over to you, Tan Sri Lim Kit Siang dan DAP," katanya lagi.