Justo tak yakin China akan lepaskan Jho Low
Pendedah maklumat skandal 1MDB, Xavier Justo berpandangan China berkemungkinan tidak akan membenarkan ahli perniagaan dalam pelarian, Low Taek Jho untuk pulang dan berdepan pendakwaan di Malaysia.
Justo berkata pengetahuannya berkenaan keberadaan Jho Low hanya berdasarkan laporan media yang mendakwa dia kini diletakkan dalam tahanan rumah di Shanghai, China.
Namun, Justo berkata dia yakin Low pasti sudah ditahan jika dia tidak berada di China.
"Dia mungkin di China. Saya fikir tiada tempat yang lain yang dia boleh tinggal. Jika dia tinggalkan China, dia akan ditahan di hampir semua negara (yang dia pergi)," katanya kepada pemberita di sebuah forum anjuran Gerakbudaya di Petaling Jaya, Selangor semalam.
Justo juga menyuarakan keraguan yang China akan membenarkan Jho Low meninggalkan negara itu.
"Dia seharusnya berada di Malaysia, dihukum di Malaysia. Tetapi saya tak lihat kenapa China akan membenarkannya tinggalkan negara itu. Untuk membuatkan (Perdana Menteri) Anwar (Ibrahim) gembira dan demi kebaikan Malaysia?
"Saya tak fikir mereka akan benarkan seorang ahli perniagaan, yang membuat urus niaga utama dengan eksekutif peringkat tinggi China, untuk pulang ke Malaysia dan dedahkan apa yang dia lakukan di sana. Tiada sebab untuk menjustifikasikannya. Tapi saya harap saya silap," katanya lagi.
Justo meninggalkan Petrosaudi International pada 2011, dua tahun selepas syarikat itu menerima SS$1 bilion daripada usaha sama dengan 1MDB.
Ketika itu, dia turut menambil salinan emel yang disifatkannya sebagai "insurans".
Dia kemudian memberikan maklumat dalam emel tersebut kepada editor Sarawak Report Clare Rewcastle Brown dan seorang tokoh media di Malaysia selepas Petrosaudi gagal membayar AS$2 juta (RM9 juta) yang didakwanya sebagai tunggakan miliknya.
Dia dipenjarakan di Thailand pada Ogos 2015 selepas dilaporkan mengaku ke atas pendakwaan mengugut Petrosaudi. Jenayah itu didakwa dilakukan pada 2013.
Macau atau Shanghai
Pada 30 Mei lalu, SPRM dilaporkan berkata pihaknya "percaya" Jho Low bersembunyi di Macau.
Menurut laporan Al Jazeera, SPRM berkata beberapa individu yang pernah melihat Jho Low di sana.
Laporan itu berkata pendedahan tersebut dibuat hanya beberapa minggu selepas penahanan suspek 1MDB yang agak tidak dikenali, Kee Kok Thiam.
Kee yang dipercayai sebagai sekutu Jho Low, meninggal dunia di sebuah hospital akibat strok pada 31 Mei lalu.
Pengarang bersama buku skandal 1MDB, Bradley Hope pula menyatakan pandangan yang berbeza, iaitu dia yakin Jho Low diletakkan dalam tahanan rumah di Shanghai.
“Jho Low banyak berada di Macau dari 2015-2018, serta di Hong Kong, Shenzhen dan Thailand tetapi selepas kekalahan (bekas perdana menteri) Najib (Razak) pada pilihan raya (tahun lalu), pergerakannya lebih terhad di tanah besar," katanya.
Dia juga mendakwa China telah menahan Low susulan rundingan dengan Malaysia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai