Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

PRN T'ganu: Agihan kerusi PAS, Bersatu diputuskan dua hari lagi

Pembahagian kerusi antara PAS dan Bersatu bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Terengganu akan diputuskan dua hari lagi, kata Naib Presiden PAS Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Menteri Besar Terengganu itu berkata pihak terlibat masih dalam perbincangan berhubung pembahagian itu, namun PAS Terengganu bersedia memberi laluan kepada Bersatu untuk bertanding di beberapa kerusi.

"Insya-Allah akan ada kerusi bagi rakan Bersatu untuk bertanding di negeri Terengganu, namun setakat ini kita masih belum tamat lagi perbincangan kerusi.

"Insya-Allah, dalam dua hari lagi kita akan mengadakan perbincangan bersama kalangan pimpinan (kedua-dua parti) untuk penentuan kerusi yang ingin ditandingi," katanya ketika ditemui pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman KMI Healthcare dan Perbadanan Kemajuan Ekonomi Negeri Perlis di Kuala Lumpur, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya tiada masalah berhubung kesediaan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk bekerjasama dengan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan menyifatkan hal itu sebagai satu nilai tambah buat PRN nanti.

"Apa yang penting adalah keinginan yang mahu dicapai oleh kami Perikatan, sama ada PAS, Bersatu dan Gerakan adalah untuk menggembleng sokongan sebanyak mungkin dalam kalangan rakyat bukan sahaja Melayu Islam bahkan daripada komuniti yang lain,” katanya.

Terengganu antara enam negeri yang akan mengadakan PRN tahun ini selain Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan dan Kedah.

Sementara itu mengenai isu penjualan tanah kerajaan negeri bernilai RM29.3 juta kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Ahmad Samsuri berkata penjualan itu adalah mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Saya pun tidak faham kenapa perkara ini menjadi isu apabila proses yang dijalankan berhubung jual beli itu dibuat mengikut peraturan dan undang-undang sedia ada di negeri Terengganu,” katanya.

Sebelum ini tular isu penjualan tanah seluas 11,299 meter persegi berdekatan bangunan Badan Perhubungan PAS Terengganu bernilai RM29.3 juta didakwa dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan bayaran premium RM500,000.

Dilaporkan, penjualan itu tidak disokong Majlis Bandaraya Kuala Terengganu dan bertentangan dengan harga premium yang sepatutnya dikenakan iaitu sebanyak RM5.87 juta, tetapi didakwa dikurangkan oleh kerajaan negeri kepada RM500,000 sahaja.

- Bernama