Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

'Rangka manusia prasejarah Nenggiri seperti fetus dalam perut ibu'

Sekumpulan penyelidik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menemui rangka manusia prasejarah yang lengkap bersama beberapa artifak lain di Gua Keledung Kecil semasa menjalankan kerja-kerja menyelamat arkeologi di tapak projek empangan di Lembah Nenggiri, Gua Musang, Kelantan.

Misi arkeologi itu diketuai oleh Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli iaitu Felo Kanan, Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma) UKM.

"Penemuan rangka manusia prasejarah di Gua Keledung Kecil merupakan antara jumpaan penting kepada warisan arkeologi negara. Secara tidak langsung, ia dapat menyumbang kepada dapatan fakta baru berkait amalan pengebumian dan evolusi sosio-budaya kehidupan zaman prasejarah khususnya di Lembah Nenggiri, Kelantan.

"Rangka manusia tersebut berada dalam kedudukan melipat sepenuhnya dan menghadap ke arah barat daya. Kedudukan melipat sepenuhnya ini merupakan posisi yang hampir sama dengan kedudukan fetus dalam kandungan ibu yang sedang mengandung," kata kenyataan oleh Unit Komunikasi Korporat Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) pada hari ini.

Menurut Motac, para penyelidik mendapati cara pengebumian rangka manusia prasejarah yang ditemui itu merupakan amalan masyarakat prasejarah yang terawal mendiami Lembah Nenggiri semenjak 14,000 tahun yang lalu.

Sampel gigi dan cengkerang siput yang ditemui akan dihantar ke Beta Lab di Amerika Syarikat untuk memperoleh pentarikhan kronometrik, maklum Motac.

"Selain itu, perkara menarik berkenaan rangka ini adalah asosiasi artifak yang berada di sekelilingnya yang berfungsi sebagai alat bekalan kubur. Tapak tangan kanan si mati memegang mineral hematit manakala tapak tangan kiri pula memegang lutut kaki kanan.

"Di sekeliling rangka juga terdapat alat-alat batu yang dikebumikan bersama-sama dengan si mati, antaranya batu pelandas dengan alat grind-pounding, kapak genggam dan alat repeh yang diperbuat daripada batu sabak serta kristal kuarza yang sering digunakan dalam ritual pengebumian masyarakat prasejarah," kata kenyataan itu lagi.

Lembah Nenggiri sebelum ini memang dikenal pasti sebagai tapak warisan peninggalan purba.

Pada 2 November 2018 para penyelidik UKM dan Upsi menemukan rangka manusia prasejarah berusia antara 6,000 hingga 8,000 tahun di Gua Chawan.

Segala jumpaan di Gua Chawan sangat penting bagi merungkai budaya masyarakat primitif dan kehadiran manusia prasejarah di sepanjang gugusan gua kompleks batu kapur dan lembangan sungai di Lembah Nenggiri, Ulu Kelantan.

Selain daripada rangka manusia prasejarah, artifak lain turut ditemui seperti alat litik, sisa makanan berupa tulang binatang, dan cengkerang siput, brutia costula serta serpihan tembikar tanah.

Alat titik yang ditemui pula termasuklah alat pengetuk, alat batu pengisar, alat batu pengisar dan menumbuk, batu pelandas, alat batu unifas, alat batu bifas, pahat batu, mata lembing dan alat repeh.

Survei dan ekskavasi tersebut dibuat untuk merekodkan data tapak-tapak sedia ada dan tapak-tapak baru yang terdapat di lembangan Sungai Nenggiri yang akan terkena impak akibat daripada pembinaan empangan hidro elektrik .

Kerja-kerja pembinaan empangan telah dimulakan sejak 1 Mac 2022.

Dalam pada itu, Motac pada kenyataan hari ini berkata kementerian melalui agensinya, Jabatan Warisan Negara dengan kerjasama Kerajaan Negeri Kelantan akan memastikan penemuan prasejarah ini dapat dijadikan rujukan sejarah dan warisan negara serta dapat dikongsikan juga kepada orang ramai.

TNB bina galeri mini dekat empangan

Lantaran itu, Motac memaklumkan pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan membangunkan sebuah galeri mini berhampiran dengan Empangan Nenggiri bagi menempatkan segala jumpaan arkeologi di Lembah Nenggiri termasuklah rangka yang dijumpai di Gua Keledung Kecil.

"Kewujudan galeri tersebut pastinya akan menjadi aset/produk pelancongan berasaskan warisan dan budaya untuk menarik pelancong datang ke Lembah Nenggiri.

"Impaknya amat positif kepada rantaian sektor perkhidmatan di mana limpahan ekonomi serta kemakmurannya akan dinikmati oleh rakyat tempatan secara keseluruhan," kata kenyataan Motac lagi.

Kerajaan Kelantan pada 16 Jun 2022 menjelaskan segala hasil kayu, sumber mineral dan khazanah bersejarah akan dikeluarkan terlebih dahulu sebelum pembinaan empangan Nenggiri, Gua Musang, dimulakan.

Empangan Nenggeri melibatkan keluasan kira-kira 5,000 ekar dijangka mula beroperasi pada 1 Jun 2027 dengan tasik takungan utama seluas 53.84 kilometer persegi.

Untuk rekod, projek empangan Nenggiri mendapat bantahan masyarakat Orang Asli setempat namun projek itu tetap diteruskan dan dilaporkan kerajaan membayar pampasan terhadap penduduk terlibat.

Pada 1 Ogos 2022, Takiyuddin Hassan ketika menjadi menteri tenaga dan sumber asli berkata kerajaan memperuntukkan lebih daripada RM200 juta untuk masyarakat Orang Asli yang terjejas berikutan pembinaan empangan itu.

Bagaimanapun, Pengerusi Jaringan Kampung Orang Asli Kelantan (JKOAK), Mustafa Along berkata, pembinaan empangan hidroelektrik Nenggiri tersebut yang didakwa untuk menyelesaikan masalah banjir, kemarau dan membekalkan bekalan tenaga elektrik adalah tidak tepat.

Sebaliknya, menurutnya, ia akan memberi kesan yang teruk kepada empat buah penempatan orang asli secara langsung iaitu Pos Tohoi, Pos Pulat, Kampung Wias dan Kampung Bering.

Katanya, seramai 1,185 orang daripada 217 keluarga akan dipindahkan ke kawasan lain iaitu di Kampung Kuala Yai dan 18 kampung atau pos akan terjejas secara tidak langsung kerana kawasan hutan rayau, tanah adat dan wilayahnya juga akan tenggelam.

Selain itu, projek berkenaan, Kata Mustafa akan memusnahkan sebahagian besar kawasan hutan, tanah adat dan wilayah mereka untuk mendapatkan bekalan air bersih untuk memasak, mandi-manda, membasuh dan bercucuk tanam.

Ia juga dikatakan menjejaskan kawasan mereka mendapatkan makanan hutan melalui aktiviti memburu dan sebagainya.