Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Mahkamah perintah ‘arahan tegahan’ kes rebutan hak jagaan anak Orang Asli

Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan Zainal Azman Ab Aziz hari ini mengeluarkan perintah arahan tegahan (gag order) kepada semua pihak terbabit dalam kes perebutan hak jagaan anak yang tular pada 25 Mei lalu.

Perintah itu dibuat dalam prosiding yang berlangsung kira-kira jam 10 pagi tadi.

Perkara itu disahkan peguam mewakili ibu bapa kanak-kanak terbabit ketika ditemui selepas prosiding selesai.

Peguam Zainul Rijal Abu Bakar yang mewakili ibu kanak-kanak berkenaan berkata, semua pihak perlu mematuhi keputusan mahkamah dan tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan kes itu di mana-mana media.

Zainul Rijal Abu Bakar

Perkara itu turut dipersetujui peguam yang mewakili bapa kanak-kanak berusia sembilan tahun itu, Bastian Pius Vendargon (gambar, judul berita).

"Semua kaunsel tertakluk kepada 'gag order' yang dikeluarkan, jadi kami tidak akan mengeluarkan sebarang kenyataan berkaitan prosiding berlangsung hari ini sehingga diberitahu kelak (oleh mahkamah)," katanya.

Ketika ditanya jika media boleh melaporkan perjalanan prosiding dalam kamar mahkamah pagi tadi, Vendargon menasihatkan supaya pihak media mendapatkan pandangan itu daripada pihak pejabat pendaftar mahkamah.

Sementara itu, semakan dengan pihak mahkamah memaklumkan bahawa tidak ada sebarang liputan mengenai prosiding hari ini.

“Arahan dalam mahkamah tadi bagi prosiding pada hari ini memang tidak dibenarkan sebarang liputan mengenainya, memandangkan prosiding pada hari ini adalah berkaitan notis temujanji,” kata seorang pegawai mahkamah.

Terdahulu, media melaporkan satu rakaman video tular memaparkan seorang ibu dan anak berusia sembilan tahun terpaksa berpisah setelah Mahkamah Tinggi Kuantan memutuskan kes habeas corpus kanak-kanak itu berpihak kepada bapanya pada 25 Mei lalu.

Rakaman berdurasi 49 saat itu memaparkan kanak-kanak terbabit merangkul ibunya sambil menangis sebelum mengikuti bapanya.

Kanak-kanak itu adalah anak kepada pasangan Orang Asli yang telah becerai, manakala ibunya telah memeluk Islam dan berkahwin lain.