Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kumpulan mengaku waris Kesultanan Sulu 'sedia bantu' siasatan PDRM

Kumpulan yang mengaku sebagai pewaris Kesultanan Sulu berkata mereka “sedia membantu” siasatan Polis Diraja Malaysia terhadap kumpulan mereka berhubung tuntutan timbang tara berbilion ringgit yang dikaitkan dengan kedaulatan Sabah.

Dalam respons melalui e-mel kepada Malaysiakini baru-baru ini, peguam Paul Cohen yang berpangkalan di United Kingdom menyatakan kesediaan anak guamnya untuk bekerjasama dalam siasatan polis Malaysia atas dakwaan sabotaj di bawah Seksyen 124K Kanun Keseksaan.

Peguam dari firma guaman London Gray’s Inn Square itu mendakwa bahawa pada 2017 kumpulan itu telah berhubung dengan peringkat tertinggi kerajaan Malaysia bagi memberi amaran kepada mereka (kerajaan Malaysia) mengenai litigasi sivil yang akan datang.

“Kami menawarkan untuk berunding, sebaliknya, mereka memilih jalan ini. Saya tidak percaya Polis Diraja Malaysia akan menghadapi sebarang kesukaran untuk membezakan antara tindakan undang-undang sivil dalam pelbagai bidang kuasa di satu pihak, dan dakwaan tidak masuk akal mengenai sabotaj jenayah ini di pihak yang lain.

"Tetapi jika mereka memerlukan bantuan sedemikian, kami dengan gembira sedia untuk membantu mereka," kata Cohen.

Pada 30 Mei lalu, Bernama melaporkan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya menerima laporan berhubung kumpulan orang yang mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu.

Acryl berkata laporan itu dibuat oleh Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri (JPM) Khairul Dzaimee Daud, berikutan tuntutan kepada kerajaan Malaysia pada 30 Julai 2019.

Kata Acryl, tuntutan itu mengancam keselamatan negara dan polis, melalui Unit Risikan Jenayah Bukit Aman, telah melancarkan siasatan mengikut Seksyen 124(k) Kanun Keseksaan kerana sabotaj.

Pada 26 Mei lalu, Bernama melaporkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang JPM berkata laporan polis dibuat sehari lebih awal (25 Mei) berhubung perkara yang disifatkan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang JPM membabitkan notis timbang tara yang diserahkan kepada kerajaan Malaysia membabitkan tuntutan melebihi AS$32 bilion (kira-kira RM148 bilion).

Kenyataan itu juga menyebut berikutan pencerobohan Lahad Datu, kerajaan Malaysia mengisytiharkan Tentera Diraja Sulu sebagai entiti pengganas yang terlibat dalam tragedi di Sabah pada 2013.

Ia juga mengulangi dakwaan bahawa salah seorang penuntut, Fuad A Kiram, juga diklasifikasikan sebagai pengganas di bawah Seksyen 66B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 pada 6 April 2023.

Menurut kenyataan itu, laporan polis itu dibuat di ibu pejabat polis daerah Putrajaya berhubung dakwaan unsur sabotaj ekonomi dan ancaman kepada keselamatan negara, melalui tindakan agresif yang dikatakan oleh pihak yang menuntut yang didakwa bersubahat dalam menyalahgunakan proses timbang tara antarabangsa.