Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bersatu dibenar cabar pembekuan akaun, larangan perjalanan Muhyiddin

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Bersatu untuk meneruskan tindakan undang-undangnya bagi membatalkan pembekuan dua akaun parti itu serta larangan perjalanan terhadap presidennya, Muhyiddin Yassin.

Hakim Ahmad Kamal Md Shahid membenarkan permohonan semakan kehakiman yang dibuat parti itu hari ini.

Hakim memutuskn terdapat isu yang boleh dibicarakan berkenaan arahan pembekuan akaun dan larangan perjalanan, yang memerlukan penghujahan pihak terlibat dalam perbicaraan penuh."Selepas mempertimbang permohonan, saya berpandangan kes ini tidak semberono dan pemohon telah melepasi tahap untuk memulakan prosiding semakan kehakiman," kata Ahmad Kamal.

Dia berkata trend keputusan Mahkamah Persekutuan mutakhir ini - seperti keputusan dalam permohonan N Sundra Rajoo berkenaan kuasa peguam negara untuk memulakan prosiding jenayah boleh dicabar menerusi semakan kehakiman dalam keadaan yang sesuai - menunjukkan isu arahan pembekuan akaun oleh SPRM pun boleh menjalani semakan kehakiman.

Berkenaan larangan perjalanan, Ahmad Kamal berkata walaupun Muhyiddin tidak lagi dalam senarai hitam, isu tersebut tidak bersifat akademik kerana mahkamah perlu melihat larangan itu secara keseluruhan, bukan sebagai kes terpencil.

"Selain itu, larangan perjalanan juga ada unsur kepentingan awam dan memerlukan mahkamah melihatnya secara substantif kerana kedudukan pemohon kedua (Muhyiddin) selaku bekas perdana menteri juga ada taraf tertentu di negara ini.

"Secara ringkas, isu kesahan larangan perjalanan tidak semberono...Ia menyentuh kebebasan asas yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang juga memerlukan pendengaran secara substantif di mahkamah ini," katanya lagi.

Hakim berkata isu yang boleh dibicarakan tidak boleh diputuskan di peringkat awal prosiding.

Dia bagaimanapun tidak membenarkan permohonan Bersatu untuk pelepasan sementara sebahagian dana dalam akaun Bersatu untuk mendanai operasi harian parti.

Katanya, ia tidak boleh diberikan kerana mahkamah belum mendengar secara keseluruhan semakan kehakiman dan menentukan sama ada keputusan pembekuan adil atau tidak.

Dengan kebenaran itu, mahkamah akan mendengar penghujahan pihak terlibat berhubung merit semakan kehakiman tersebut.

Bersatu membuat permohonan tersebut pada 8 Mac lalu, bagi mencabar keputusan SPRM membekukan dua akaun banknya - di CIMB Islamic Bank Berhad dan AmBank (M) Berhad - serta keputusan imigresen untuk mengenakan larangan perjalanan terhadap Muhyiddin.

[Baca berita asal]