El Nino burukkan masalah jerebu di Malaysia
Bahang panas yang meresahkan sebahagian besar penduduk negara ini sejak kebelakangan dikaitkan dengan fenomena El Nino dengan ancaman jerebu, dan dilaporkan turut memberi impak kepada negara lain Asia Tenggara.
Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), cuaca panas terik serta kualiti udara menurun kepada paras "tidak sihat”pada 15 April lepas serta memberi kesan kepada negeri di bahagian utara iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu.
Negara jiran Malaysia melaporkan peningkatan titik panas serta jerebu akibat El Nino, ditambah berlaku kebakaran, terutamanya di kawasan tanah gambut.
Pusat Meteorologi Khusus ASEAN (ASMC) turut melaporkan titik panas yang merebak di Myanmar dan Laos di samping lokasi titik panas di Thailand, Kampuchea dan Vietnam.
Memandangkan cuaca kering yang masih berterusan di samping jerebu yang membawa asap tebal dari titik panas ke negara jiran Asean, sudah tentu Malaysia akan turut terkesan.
El Nino panjangkan musim kering
Pensyarah kanan Jabatan Sains Bumi dan Alam Sekitar, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Mohd Shahrul Mohd Nadzir berkata, sepanjang El Nino, angin yang bertiup ke arah barat sepanjang Khatulistiwa menjadi perlahan dan air hangat ditolak ke timur, menyebabkan suhu permukaan lautan menjadi panas.
"Menurut Copernicus Climate Change Service, Kesatuan Eropah (EU), model iklim menunjukkan kembalinya keadaan El Nino pada musim panas Borea, serta kemungkinan El Nino yang lebih kuat berlaku pada penghujung tahun 2023.
"Setakat ini pada tahun ini, sekitar 23 titik panas dikenal pasti di Sarawak ketika negeri ini bersiap siaga menghadapi cuaca kering yang panjang. Perubahan iklim serta jangkaan kembalinya fenomena cuaca El Nino boleh melonjakkan purata rekod suhu pada tahun 2023 dan 2024, menurut saintis iklim, " katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Laporan media sebelum ini ada menyebut berdasarkan rekod, iaitu pada tahun 2015, setakat ini El Nino melanda Malaysia sebanyak 12 kali, dengan yang pertama antara tahun 1951 dan 1952, dan kejadian terburuk pada tahun 1997 hingga 1998, dengan suhu terpanas 40.1 darjah Celcius direkod di Stesen Meteorologi Chuping, Perlis, pada 9 April, 1998.
Mohd Shahrul berkata, El Nino dikaitkan dengan pengurangan hujan di bahagian tertentu Asia Tenggara, termasuk Malaysia, dan cuaca kering mudah menggalakkan kebakaran hutan, menyebabkan pelepasan asap serta bahan pencemar ke atmosfera, menghasilkan jerebu.
"Hakikatnya, El Nino mampu memanjangkan musim panas di rantau yang terlibat. Musim panas yang panjang meningkat kemungkinan berlaku kebakaran hutan, memburukkan lagi keadaan jerebu," katanya.
Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Nik Nazmi Nik Ahmad dipetik berkata dalam laporan media pada 15 April, jerebu yang melanda negara adalah akibat kebakaran hutan gambut.
Risiko kesihatan
Semasa berlaku El Nino, Mohd Shahrul berkata, perubahan dalam peredaran atmosfera boleh memberi kesan kepada corak angin, berpotensi membawa asap serta bahan pencemar yang dihasilkan kawasan yang terbakar ke arah Malaysia.
"Keadaan ini pasti memburukkan paras jerebu di negara ini. Kombinasi keadaan kering, kebakaran hutan serta pelepasan bahan pencemar daripada pelbagai sumber boleh meningkatkan paras zarah, seperti zarah bawaan udara.
"Zarah ini boleh menyumbang kepada jerebu dan mendatangkan risiko kesihatan, menyebabkan isu pernafasan dan kesan kesihatan lain yang teruk," katanya sambil menambah keadaan jerebu di Malaysia boleh berbeza bergantung kepada faktor seperti corak cuaca, perubahan kegunaan tanah serta kegiatan manusia.
“Penting untuk semua mengetahui bahawa meskipun El Nino boleh memburukkan jerebu, namun faktor lain seperti amalan penggunaan tanah, amalan pertanian serta kegiatan membakar yang diharamkan juga mempunyai peranan penting dalam pembentukan jerebu.
"Keadaan jerebu yang teruk pada tahun 2019 sebahagian besarnya berpunca daripada kebakaran hutan di Indonesia sementara jerebu yang berlaku pada tahun-tahun lain berpunca daripada faktor yang berbeza.
"Pemantauan kualiti udara yang kerap serta mengurangkan sumber pencemaran adalah penting untuk menyekat keadaan yang teruk," katanya.
Kebakaran tanah gambut
Menurut Pakar Strategi Kempen Serantau, Greenpeace Asia Tenggara, Heng Kiah Chun, jerebu kini bukan sahaja terhad kepada Malaysia dan Indonesia, seperti yang difikirkan ramai orang, tetapi ia juga dari negara Asia Tenggara yang lain.
"Sebagai contoh, jerebu rentas sempadan yang berlaku baru-baru ini berkait langsung dengan pertumbuhan budaya mono dan pertanian di Thailand serta negara jiran lain. Pembukaan tanah untuk kegiatan perladangan menyebabkan tanah gambut menjadi kering dan mudah terbakar.
"Apabila penggondolan hutan dan saliran berlaku, paras air water table menurun dan menghalang pencerapan karbon. Sebaik terdedah kepada udara, gambut mereput melepaskan karbon dioksida dan menyebabkan tanah tenggelam.
"Dengan gambut menjadi kering, risiko kebakaran hutan serta pembentukan jerebu, kembalinya cuaca panas dan kering akibat El Nino, ini semua memburukkan keadaan jerebu di Malaysia," katanya.
Heng, yang juga jurucakap Greenpeace untuk projek jerebu rentas sempadan berkata, fenomena itu adalah buatan manusia dan ia boleh dicegah dengan mengambil tindakan yang betul bagi memantau serta menyekat kebakaran, terutama di atas tanah gambut.
"Kami (Greenpeace) mencadangkan beberapa langkah untuk melindungi tanah gambut, iaitu pemulihan tanah gambut boleh menghalang punca utama kebakaran, sebagai tambahan kepada usaha pencegahan kebakaran yang dilakukan pihak berkuasa.
"Kedua, adalah penting untuk menghentikan kemusnahan tanah gambut dan komited keoada dasar Sifar Penggondolan Hutan, Sifar Gambut dan Sifar Eksploitasi (NDPE) oleh syarikat perladangan dan jenama global," katanya.
Komitmen kepada NDPE lazimnya digunakan dalam rujukan kepada pengeluaran komoditi pertanian, digunakan oleh syarikat hiliran, pedagang, pengilang serta penanam, dan biasanya berkait dengan pengeluaran minyak sawit. NDPE termasuk komitmen kepada apa yang dipanggil Persetujuan Bebas, Terdahulu dan Termaklum (FPIC) untuk komuniti Orang Asli dan komuniti tempatan lain, sifar pembakaran, mencegah keadaan kerja yang buruk serta memelihara kawasan Nilai Pemuliharaan TInggi (HCV), kawasan Stok Karbon Tinggi (HCS) dan tanah gambut.
Pada 7 Mei 2023, Jabatan Alam Sekitar (JAS) dalam kenyataan berkata, pihak Jabatan menyediakan beberapa langkah untuk menangani kejadian pembakaran terbuka, antaranya, kualiti udara yang menurun yang mencetuskan jerebu dan mengancam kesihatan awam.
Menurut Jabatan itu lagi, sewaktu cuaca kering, terdapat kebimbangan akan meningkat kebakaran terbuka, terutamanya melibatkan kawasan tanah gambut dan tapak pembuangan sampah.
Menurut Heng, meskipun dasar NDPE amalan terbaik di atas tanah yang sedia ada, bukan semua syarikat memenuhi komitmen berkenaan.
"Peniaga serta pengeluar utama minyak sawit mendokong dasar NDPE, yang menyediakan platform terbaik untuk memperbaiki imej mereka yang tercalar akibat kerosakan yang berlaku.
"Syarikat mesti menghentikan kegiatan membersihkan tanah gambut dan mula memulihkan kawasan berkenaan. Dalam masa yang sama, rantaian bekalan permintaan daripada pembekal dan peniaga perlu berusaha mematuhi dasar (NDPE), " katanya.
Akta pencemaran jerebu rentas sempadan
Mengulas lanjut mengenai jerebu rentas sempadan, Heng mencadangkan kerajaan Malaysia bekerjasama dengan negara Asean lain untuk menggubal Akta Jerebu Rentas Sempadan masing-masing.
"Akta itu adalah langkah konkrit pertama sejajar dengan perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) tahun 2002 yang diratifikasi oleh Kuala Lumpur pada 3 Disember 2002," katanya.
Negara Anggota Asean (AMS) memeterai AATHP pada 10 Jun 2002 di Kuala Lumpur, ekoran daripada kebakaran hutan dan tanah yang buruk pada tahun 1997-1998.
Akta berkenaan bertujuan mencegah, memantau serta mengurangkan kebakaran hutan dan tanah bagi mengawal pencemaran jerebu rentas sempadan menerusi usaha bersepadu di peringkat negara, serantau serta antarabangsa.
Pada 1 Mei 2023, Nik Nazmi dipetik berkata, Malaysia akan menemui negara jirannya di Singapura (7 - 8 Jun 2023) bagi membincangkan jerebu rentas sempadan serta membangunkan pelan hala tuju baharu untuk kerjasama.
Lima negara iaitu Brunei, Indonesia, Singapura, Thailand dan Malaysia, membentuk kumpulan kerja teknikal dan jawatankuasa pemandu kementerian sub-serantau mengenai jerebu rentas sempadan.
Apakah mungkin mesyuarat ini mampu menamatkan igauan rakyat Malaysia yang teruk terkesan akibat fenomena jerebu sejak tahun 1997?
Profesor Madya Politik Alam Sekitar, Jabatan Pengajian Antarabangsa dan Strategik Universiti Malaya, Dr Helena Varkkey berkata, semua negara Asean, termasuk Filipina, yang tidak terjejas teruk akibat jerebu bersetuju menghadiri AATHP.
"Perjanjian (AATHP) adalah penting kerana ia satu-satunya instrumen undang-undang alam sekitar Asean yang mengiktiraf jerebu sebagai isu rentas sempadan dan menggunakan Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk memantau, menilai, tindakan kecemasan bersama dan pembangunan hala tuju jerebu.
"Asean sebenarnya memainkan peranan besar untuk memastikan jerebu terus menjadi agenda serantau kerana kita tahu ia isu bermusim tetapi memandangkan ada perjanjian dengan Asean, sekurang-kurangnya mereka berbincang dan bermesyuarat bagi mengelak serta memantau kes jerebu ini," katanya.
Menurutnya, meskipun AATHP mempunyai ikatan undang-undang, ianya terhad daripada segi mekanisme penguatkuasaan bagi memastikan setiap negara komited kepada janji.
"Terdapat perkara lain yang dilaksanakan, sebagai contoh, hala tuju untuk kerjasama jerebu rentas sempadan yang dipinda, ada usaha untuk menambah baik serta mengukuhkan aspek operasi perjanjian.
"Apa yang dilakukan ini untuk memperkukuhkan keseluruhan rangka kerja jerebu. Bagaimanapun, masih terdapat cabaran, antaranya menuding jari. Ini cabaran utama untuk menggerakkan mekanisme serantau," katanya.
Akta jerebu rentas sempadan sendiri
Menurut Helena, Malaysia perlu ada akta jerebu rentas sempadan sendiri.
"Singapura mempunyai akta ini yang mewujudkan liabiliti luar wilayah untuk pihak yang membuat kebakaran di luar negara dan menyebabkan asap atau jerebu rentas sempasan di negara mereka (Singapura).
"Kita perlu belajar daripada apa yang diamalkan oleh Singapura. Beberapa perkara yang kami cuba cadangkan untuk akta Malaysia ini, bagi meliputi syarikat Malaysia dengan mewujudkan rangka kerja atau sistem semak dan imbang bagi memastikan syarikat berkenaan bukan sahaja bertindak baik di Malaysia tetapi juga di luar negara agar tidak menyumbang kepada jerebu," katanya.
Pada 25 Sept 2014, Akta Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan Singapura dikuatkuasakan bagi mencegah firma atau pihak di luar Republik itu daripada menjalankan kegiatan yang menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.
Kerajaan Malaysia, pada tahun 2019, merangka akta berkenaan tetapi ia tidak diteruskan apabila berlaku pertukaran kerajaan.
Rangkaian sensor kualiti udara
Sementara itu, menurut Mohd Shahrul, kerajaan mengambil beberapa tindakan untuk menangani masalah jerebu, termasuk menguatkuasakan peraturan yang lebih ketat serta melaksanakan langkah untuk mengurangkan pelepasan daripada industri, kenderaan serta pembakaran terbuka.
"Bagaimanapun, keberkesanan langkah berkenaan masih menjadi topik perbahasan kerana jerebu dan cuaca panas terus berlaku dan mungkin menyukarkan langkah penguakuasaan.
"Untuk menangani masalah jerebu ini secara serius, ia bukan sahaja bergantung kepada penguatkuasaan akta atau usaha kerajaan tetapi ia perlu juga melibatkan masyarakat dengan meningkatkan kesedaran tentang pencemaran udara," katanya.
Menurutnya, bagi melibat serta memperkasa masyarakat untuk bertindak mengurangkan pencemaran udara, rangkaian sensor atau pengesan kualiti udara yang boleh melengkapkan sistem pemantauan kualiti udara tradisional di samping menyediakan lebih banyak maklumat menyeluruh tentang paras pencemaran udara sewaktu fenomena jerebu.
"Sensor ini kecil, mudah dibawa dan dipasang, menjadikan sesuai untuk kawasan yang infrastruktur pemantauan kualiti udaranya terhad.
“Bagaimanapun, perlu ambil maklum, sensor kualiti udara yang berkos rendah mungkin tidak berapa tepat berbanding stesen pemantauan yang gred profesional. Untuk itu, penting untuk menaksir data daripada sensor berkenaan setakat sebagai petunjuk dan bukan muktamad.
"Dengan menyediakan akses kepada data masa nyata kualiti udara, sensor itu boleh membantu meningkatkan kesedaran kesan pencemaran udara ke atas kesihatan awam dan alam sekitar. Ia juga boleh memberi motivasi kepada individu serta masyarakat agar mengambil langkah mengurangkan mendedahkan diri mereka kepada pencemaran udara dan menyumbang meningkatkan kualiti udara," katamya.
Dengan menggunakan rangkaian sensor kualiti udara, adalah mungkin mendapatkan data masa nyata kepekatan bahan pencemar dalam udara, yang dapat membantu pihak berkenaan mengeluarkan nasihat kesihatan awam dan bertindak segera apabila berlaku jerebu.
"Maklumat daripada rangkaian pengesan itu boleh digunakan utnuk mengenal pasti lokasi titik panas supaya tindakan segera dapat dilakukan," katanya,
UKM, katanya, secara aktif membangunkan sistem pemantauan kualiti udara yang memfokus kepada kawalan kualiti bagi memastikan sistem itu boleh menghasilkan data yang tepat.
"Sebagai contoh, pada masa ini kami menyumbang aplikasi alat pengesan ini kepada sekolah, sebagai sebahagian daripada program ‘Sains Rakyat’ , suatu perkara baharu di Malaysia," katanya.
Mohamad Shahrul turut menyatakan bahawa kerajaan Malaysia perlu mengambil pendekatan yang lebih komprehensif, termasuk mendidik orang awam mengenai impak jerebu serta mempromosikan amalan mampan.
"Juga penting untuk bekerjasama dengan negara lain di rantau ini bagi menangani punca pencemaran jerebu rentas sempadan. Secara keseluruhannya, untuk menangani masalah jerebu dan cuaca panas memerlukan usaha yang berterusan daripada semua pihak yang berkepentingan termasuk orang perseorangan, syarikat perniagaan dan kerajaan," katanya.
-Bernama
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai