Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

ULASAN | Kenaikan gaji guru perlu dibuat atas landasan yang betul

Saya mengalu-alukan sepenuhnya kenyataan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mengesahkan komitmen Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk menaikkan gaji guru, susulan pengumuman Perdana Menteri tempoh hari berkenaan hal yang sama.

Tidak dinafikan bahawa gaji guru masih rendah dan memerlukan semakan demi menjaga kebajikan mereka. Namun begitu, kenaikan ini harus dibuat di atas landasan yang betul.

Isu yang membelenggu profesion keguruan memerlukan dua peringkat pembaikan iaitu bermula dengan pemulihan profesion keguruan, dan kemudiannya perlu diikuti dengan peningkatan profesionalisme secara lestari.

Pemulihan diperlukan kerana kebejatan yang membelenggu profesion keguruan adalah bersifat sistemik. Ia harus bermula dengan mengurangkan bebanan tugas guru, khususnya dari segi administratif. Gaji yang tinggi tidak akan menyelesaikan isu ini, namun menambah bilangan kakitangan pendidikan mampu meringankan bebanan sedia ada.

Soal kedua ialah insentif. Menawarkan kenaikan gaji berdasarkan sijil (paper qualification) semata-mata hanya akan menguntungkan guru yang lebih berkemampuan. Yang kurang berkemampuan pula memerlukan biasiswa seperti hadiah latihan persekutuan.

Soal ketiga ialah tujuan pengijazahan. Kecemerlangan dalam profesion keguruan harus dilihat dari sudut kemenjadian murid secara keseluruhan, bukan sekadar gred dalam peperiksaan semata-mata.

Namun kemenjadian murid tidak dapat diukur secara sekata. Sekolah berasrama penuh (SBP) dan Maktab Rendah Sains MARA mungkin ramai pelajar gred “A” berderat-deret,

sedangkan sekolah di pedalaman terpaksa berhempas pulas melawan isu ponteng, keciciran, kemiskinan atau pelajar mengandung luar nikah.

Dari segi ini, pentauliahan yang ditawarkan kepada guru-guru harus mengambil kira kedua-dua aspirasi pendidikan negara dan keperluan tempatan. Ini penting untuk memastikan pelaburan yang dibuat melahirkan kemenjadian murid yang sesuai dengan konteks setempat.

Soal keempat, kegagalan untuk memastikan hal di atas juga telah menyebabkan berlaku kegelinciran (mismatch) dan kesenjangan (gap) antara keperluan semasa dan kepakaran guru yang ada. Memberikan insentif berdasarkan sijil semata-mata berpotensi untuk mendorong guru untuk mengambil kursus yang tidak menambah nilai kepada profesion keguruan.

Soal kelima, isu ini sebenarnya bermula lebih awal apabila wujud golongan yang menceburi bidang keguruan semata-mata untuk ‘mencari rezeki’, bukannya atas dasar minat atau penghayatan terhadap profesion. Ini sebenarnya mempunyai impak jangka panjang terhadap kewibawaan keguruan. Soal tapisan di fasa pengambilan (point of entry) semata-mata tidak mampu menyelesaikan isu ini.

Untuk menyelesaikan cabaran ini, KPM harus mencerakin isu ini dari sudut ‘maqasid’ (tujuan asal utama) pendidikan berdasarkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Sekiranya pendekatan ini diambil, saya percaya beberapa langkah dipertimbangkan untuk diterap dalam polisi KPM. Saya akan bincangkan perkara ini dalam warkah seterusnya.


CIKGU SYAZMIR HN ialah pembaca Malaysiakini dan pendidik yang mahu melihat sistem pendidikan Negara dipulihkan demi kelangsungan Tanah Air tercinta.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.