Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

KATA MP l Gabenor BNM perlu jujur, jelaskan punca sebenar kejatuhan RM

KATA MP l Bank Negara Malaysia (BNM) kena tolong kerajaan. Tak kira apa nama kerajaan itu sama ada kerajaan perpaduan atau kerajaan keluarga Malaysia atau kerajaan prihatin.

Perdana menteri dan menteri kewangan atau menteri ekonomi, mereka adalah pemimpin politik di cabang eksekutif yang menggubal dasar dan melaksanakannya.

Tugas mereka untuk seluruh negara. Berat dan luas.

Jadi Bank Negara Malaysia terutama Gabenornya perlu membantu kerajaan. BNM perlu menasihati perdana menteri dan menteri kewangan. Kebetulan orang yang sama.

Gabenor BNM kena perjelas kepada perdana menteri satu hal spesifik. Misalnya isu kenaikan kadar dasar semalaman (OPR). BNM kata kenaikan kadar OPR akan mengukuhkan nilai ringgit. 

Dah banyak kali OPR dinaikkan oleh Bank Negara tetapi kenapa nilai ringgit semakin jatuh. Contohnya pada hari Jumaat 26 Mei 2023 nilai satu dolar Amerika Syarikat bersamaan RM4.63.

Jadi Gabenor Bank Negara perlu berterus terang kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim apa sebenarnya punca kejatuhan ringgit sekarang? 

Tidak bolehlah Bank Negara menepis dan cuci tangan menyatakan ringgit jatuh bukan salah mereka tetapi banyak faktor luar di luar kawalan mereka.

Bank Negara pun tidak boleh berhujah bahawa semua mata wang asing juga jatuh macam ringgit. 

Nasib baik Bank Negara tak cakap macam itu. Ketika nilai ringgit jatuh berbanding dolar Amerika, kenapa nilai dolar Singapura dan rupiah Indonesia naik melonjak?

Jadi gabenor Bank Negara kena cakap jujur kepada menteri kewangan dan perdana menteri hal sebenarnya yang menjadi punca kejatuhan ringgit sekarang ini.

Hendak salahkan kerajaan yang ada sekarang pun tidak boleh dan tidak adil. Bukan sekarang sahaja nilai ringgit jatuh. Kerajaan dulu-dulu pun mengalami kejatuhan ringgit.

Dasar kewangan baik, kenapa ringgit tetap lemah?

Misalnya, setahun yang lalu pada 22 Mei 2022 ketika Ismail Sabri Yaakob jadi perdana menteri, nilai ringgit juga lemah. 

Tetapi soalannya kenapa selepas enam bulan kerajaan baru pimpinan Anwar, dengan pelbagai dasar-dasar kewangan yang baik, tetapi keadaan yang sama masih berlaku?

Malah nilai ringgit lebih rendah berbanding setahun lalu. Adakah wujud masalah struktur  dalam sektor kewangan dan ekonomi Malaysia? 

Kita tidaklah boleh bersorak gembira. Apabila dolar Singapura melonjak tinggi dan ringgit jatuh dan lemah maka peniaga di Johor Bahru dapat keuntungan besar atau rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura sekarang melonjak pendapatannya dalam ringgit.

Kejatuhan Ringgit Malaysia seperti tidak terkawal sekarang ini mempunyai kesan buruk kepada ekonomi Malaysia. 

Kita mengimport banyak barang dari luar negara. Malaysia juga ada berhutang dengan pihak luar. Ini semua memberi kesan kepada ekonomi Malaysia, kos sara hidup rakyat dan hutang negara.

Jadi gabenor Bank Negara dan pasukannya perlu memberi nasihat kepada perdana menteri dan kabinet pimpinannya untuk selamatkan ekonomi dan kewangan negara yang berkait rapat dengan kehidupan rakyat.

Bercakap benarlah walaupun pahit.

Adakah faktor-faktor lain yang bukan berbentuk ekonomi dan kewangan yang menjadi antara punca kejatuhan nilai Ringgit?  

Misalnya soal keyakinan rakyat Malaysia terhadap prestasi ekonomi negara ini dan masa depan kehidupan mereka. 

Kalau jawapannya ya, maka sila beritahu perdana menteri supaya langkah pemulihan dapat dilakukan oleh kerajaan.

Selanjutnya, sebagai contoh, satu agensi dari Kementerian Ekonomi yang bernama Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) tiba-tiba pada Khamis lalu 25 Mei 2023 melaporkan  satu Index yang bernama Indeks Pelopor (Leading Index) yang laporannya boleh ditafsirkan bahawa ekonomi Malaysia untuk suku ketiga tahun ini berkembang perlahan. 

Jangan bagi kenyataan gula-gula

Dalam bahasa harian rakyat ialah ekonomi Malaysia prestasinya tidaklah begitu baik.

Jadi gabenor Bank Negara kena tolong beritahu hal yang sebenar kepada kerajaan khususnya perdana menteri yang menjadi menteri kewangan. 

Jangan bagi kenyataan gula-gula iaitu kononnya, ekonomi dan kewangan Malaysia dalam landasan  yang betul dan berkembang. Kononnya, nilai ringgit jatuh sementara dan terkawal. 

Rakyat tidak mahu cakap-cakap seperti ini. Rakyat Malaysia sekarang cerdik dan mempunyai maklumat terkini di tangan mereka.

Bercakap benarlah wahai gabenor Bank Negara.


HASSAN ABDUL KARIM ialah anggota parlimen Pasir Gudang.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.