Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anwar jawab PN: Silakan, tapi saya tak buat kenyataan tanpa asas

Sehari selepas didesak meminta maaf dan diberi kata dua, tidak ada tanda Anwar Ibrahim akan 'melayan' tuntutan dibuat pihak PN berhubung kenyataannya mengaitkan parti itu dengan syarikat judi.

Hari ini perdana menteri bertegas, dia tidak membuat sebarang kenyataan jika ia tidak disertakan "asas".

Pada masa sama Anwar meminta PN membaca dengan teliti kenyataan yang dikeluarkannya sebelum ini.

“Baca kenyataan lengkap (saya) baru ambil tindakan. Tapi kalau dia nak bawa terus (untuk tindakan undang-undang), silakan.

“Saya tak keluar kenyataan kalau saya tiada asas,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur hari ini.

Terdahulu ahli parlimen Tambun itu ditanya mengenai reaksi PAS dan Bersatu berhubung tuntutan mereka yang dia meminta maaf ekoran penjelasan diberi Menteri di Jabatan Perdana Menteri Azalina Othman di Dewan Rakyat kelmarin.

Kelmarin media melaporkan bahawa Azalina memberitahu parlimen, tiada kertas siasatan dibuka oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ekoran kenyataan dibuat Anwar.

Semasa mengadakan sidang media pada Dis tahun lalu Anwar memberi bayangan bahawa ada dana dari syarikat judi disalurkan kepada parti tertentu bagi menghadapi PRU ke-15.

‘Itu poltik murahan’

Menurut Azalina, SPRM tidak dapat mengesahkan dakwaan berkenaan kerana ia dalam bentuk terlalu umum.

Ia mendorong PAS mendesak Anwar membuat permohonan maaf secara terbuka, manakala Muhyiddin Yassin yang juga pengerusi PN memberitahu pihaknya sedang berbincang dengan peguamnya untuk meneliti kemungkinan mengheret perdana menteri ke mahkamah.

Tidak lama kemudian Azalina mengeluarkan kenyataan, kerajaan tidak pernah menyatakan siasatan kes itu dihentikan, sebaliknya SPRM boleh membuka fail berkaitan pada bila-bila masa.

Dia yang juga ahli parlimen Pengerang menambah, selain SPRM siasatan turut boleh dibuat oleh agensi penguat kuasa lain termasuk polis dan Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Menurut Anwar siasatan berhubung isu dana berkaitan syarikat judi tersebut diteruskan oleh pelbagai agensi dan tindakan lanjut diambil selepas pihak berkuasa mendapat bukti baru.

Sementara itu, ketika diminta mengulas mengenai pembentangan Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 (Pindaan 1984) - atau lebih dikenali sebagai RUU 355 - Anwar menyifatkan individu yang membangkitkan isu tersebut sebagai bermain politik murahan.

“RUU355 ni dah tiga tahun. Semasa ada dalam kerajaan dia lupa, apabila dah jadi pembangkang dia bangkit (semula).

“Itu bukan Islam namanya. Itu politik murahan,” katanya yang merujuk kepada ahli parlimen Pendang dari PAS Awang Hashim, yang membangkitkan soalan tersebut dalam jawapan lisan di parlimen beberapa hari lalu.

Dua hari lalu, dalam jawapan bertulis Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal ehwal agama) Mohd Na'im Mokhtar berkata RUU355 akan dibentangkan bersama Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan).

Katanya, cadangan penggubalan akta baru itu bertujuan untuk memperkasa mahkamah syariah.