Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anwar hanya boleh jadi 'giant killer' sekali, kata Peja

WAWANCARA | Selepas kalah kepada Anwar Ibrahim di Tambun pada PRU ke-15 lalu, Ahmad Faizal Azumu kelihatan tidak patah semangat, bahkan 'bangkit'dengan memberi amaran.

Kata timbalan pengerusi PN merangkap timbalan presiden Bersatu itu, dia akan bertanding sekali lagi di kerusi parlimen tersebut dalam PRU mendatang, dan menasihati pesaingnya agar bersedia untuk menelan kekalahan.

Dalam wawancara bersama Malaysiakini, Ahmad Faizal menjangkakan penyandang kerusi tersebut tidak akan bertanding sekali lagi di Tambun.

Jika sebaliknya, kata bekas menteri besar Perak itu lagi, dia yakin Anwar akan kecundang.

"Walaupun semasa PRU lalu saya letak slogan ‘Never lost in Tambun’ tapi saya lost jugalah, namun saya mahu kekal (bertanding sekali lagi) di Tambun," katanya.

Kenyataan itu merujuk kepada iklan besar yang dinaikkan Ahmad Faizal ketika mendepani cabaran Anwar di kawasan Tambun sewaktu kempen PRU tahun lalu.

Katanya kekalahan bukanlah sesuatu yang asing buat ahli politik.

“Dr Mahathir (Mohamad) pun pernah kalah (di Langkawi)... selepas ini saya tak akan kalah di Tambun buat kali kedua.

“Tapi saya tak rasa Anwar akan (kekal bertanding) di sana. Jadi sesiapa yang akan bersaing dengan saya di Tambun pada PRU akan datang, hati-hatilah,” katanya.

Apabila ditanya apa alasan dia menjangkakan Anwar tidak akan bertanding di Tambun sekali lagi, Ahmad Faizal berkata, dia dengan pengerusi PH itu akan kalah.

“Dia akan kalah. This is Peja we are talking about. He (Anwar) can only be giant killer once (Ini adalah Peja yang sedang kita bicarakan. Dia hanya boleh jadi giant killer sekali),” katanya sambil ketawa.

Mendahului dari segi populariti

Pada PRU ke-15 yang diadakan pada 19 Nov tahun lalu, Anwar mengatur langkah tersendiri apabila meninggalkan kawasan parlimennya, Port Dickson, di Negeri Sembilan untuk ke Perak.

Anwar memenangi kerusi Port Dickson melalui pilihan raya kecil pada 2018.

Di Tambun, Anwar yang lebih sinonim sebagai ahli parlimen Permatang Pauh menundukkan Ahmad Faizal dengan majoriti 3,736 undi.

Ketika mengulas mengenai pilihan raya negeri (PRN) yang bakal diadakan tidak lama lagi, Ahmad Faizal menjangkakan kerajaan gabungan yang terdiri daripada musuh lama BN dan PH akan mendorong semakin ramai pengundi Melayu beralih undi kepada PN.

Katanya kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan sokongan pengundi - khususnya dalam kalangan Melayu - berubah kepada PN sejak PRU ke-15 dan peningkatan tersebut didakwanya begitu mendadak.

Katanya sebelum ini ahli Umno begitu yakin tentang ketetapan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi mereka bahawa dasar ‘no Anwar, no DAP, no Bersatu' benar-benar dipertahankan.

“Tapi apabila selepas berakhirnya PRU, tiba-tiba mereka (BN dan PH) bersama. Ia menyebabkan orang Melayu mengubah fikiran mereka dan sekarang menyokong PN,” katanya yang merujuk kepada kajian yang dilakukan PN.

Menurut Ahmad Faizal, kajian itu menunjukkan PN mampu meraih sehingga 80 peratus undi orang Melayu di enam negeri yang terlibat dalam PRN tidak lama lagi.

Bekas penasihat khas kepada perdana menteri itu seterusnya mendakwa kajian terbabit dijalankan di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Kedah dan Terengganu membabitkan kira-kira 3,000 responden Melayu di setiap negeri.

Pada 20 Mei lalu, Pengerusi PN Muhyiddin Yassin berkata kajian yang dibuat oleh gabungan itu menunjukkan Bersatu, Gerakan dan PAS mendahului dari segi populariti dan kepimpinan.

Sebagai mempertahankan kajian itu, Ahmad Faizal turut memberi contoh suasana rumah terbuka hari raya PN yang diadakan di Shah Alam, Selangor baru-baru ini yang mendapat sambutan amat memberangsangkan.

“Saya sendiri perlu berjalan kira-kira 1.5km untuk ke dewan program kerana kesesakan jalan raya.

"Terlalu ramai manusia yang datang untuk beri sokongan di majlis tersebut dan saya pasti ramai yang hadir bukan datang kerana makanan… sebab nak beratur, nak ambil makanan pun ambil masa lebih kurang setengah jam.

“Nak ambil minuman pun susah, nak ambil air pun susah sebab ramai orang.

"Saya betul-betul percaya mereka datang hanya untuk tunjukkan sokongan mereka kepada PN,” katanya.

Menyentuh peranannya dalam persiapan PRN, Ahmad Faizal berkata dia sedang bertungkus-lumus untuk memastikan kemenangan kepada semua calon PN, dengan tumpuan dari aspek persiapan jentera pilihan raya.

Berikut merupakan petikan daripada wawancara tersebut:

MALAYSIAKINI: Adakah masih mahu berkhidmat untuk negeri (Perak)?
AHMAD FAIZAL: Parlimenlah kalau boleh. Saya boleh putuskan (untuk bertanding di peringkat dewan undangan negeri - atau DUN - kerana) saya merupakan pengerusi PN Perak. Saya boleh putuskan untuk bertanding DUN pada PRU lalu tapi saya fikir dah ada peluang (sedemikian) pada PRU lalu.

Dah pernah mengetuai kerajaan negeri pun, ada pengalaman dijatuhkan pun. Jadi cukuplah.

Kita kena beri peluang kepada orang lain. Mungkin ramai orang lain ada idea baru dan sebagainya. Kita perlu sokong mereka dan PN pun saya percaya ada cukup pemimpin.

Saya berharap untuk jadikan (setiausaha Bersatu Perak) Zainol Fadzi (Paharudin) sebagai pemimpin akan datang di Perak. Tapi kita kekurangan empat kerusi (untuk membentuk kerajaan negeri).

"Jadi (yang jadi menteri besar) Saarani (Mohamad), BN bergabung dengan PH (untuk) tubuh kerajaan, Saarani teruskan.

"Tapi okey… Kami di Perak tak banyak politik pun. Politik gurau-gurau saja. Politik kacau-kacau di Perak. Kita tak kacau kerajaan negeri. Kalau dia tak mainkan peranan yang baik kita akan jadi pemimpin pembangkang yang berwibawa, yang baik, kita akan tubuhkan kerajaan dengan cara baik.

Tapi saya nak kekal di (kerusi parlimen) Tambun walaupun saya letak ‘Never lost in Tambun,’ but I lost-lah. Dr Mahathir pun pernah kalah.

Lepas ini saya tak akan kalah di Tambun buat kali kedua. Tapi saya tak rasa Anwar akan (bertanding) di sana. Jadi sesiapa yang akan bersaing dengan saya di Tambun pada PRU akan datang, hati-hati.

Kenapa rasa Anwar tak akan bertanding di Tambun lagi?
AHMAD FAIZAL:
Dia akan kalah. This is Peja we are talking about. He can only be a giant killer once.

Selepas PRU ke-15, adakah anda rasakan Muhyiddin sepatutnya, sekurang-kurangnya, mendapatkan nasihat kepimpinan PN sebelum menolak titah Yang di-Pertuan Agong (untuk bergabung tubuhkan kerajaan)?
AHMAD FAIZAL: Saya rasa saya simpan komen saya mengenai itu. Saya ada jawapannya tapi saya fikir saya patut simpan dulu komen saya.