Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Jabatan Imigresen siasat dakwaan 'ulat' di kaunter pejabat

Jabatan Imigresen akan menyiasat dakwaan ada pihak yang mengambil kesempatan terhadap majikan yang membuat permohonan pekerja asing di Kompleks PKNS di Shah Alam, Selangor.

Ketua pengarahnya Ruslin Jusoh berkata, pihaknya maklum berhubung laporan berkenaan 'ulat' yang menyasarkan majikan dan akan menyiasat perkara itu.

"Beberapa majikan dakwa ada orang tak dikenali datang dan tawarkan mereka nombor giliran (untuk potong barisan menunggu).

"Jabatan kami memandang serius dakwaan ini. Kami akan ambil tindakan untuk siasat dan kesan individu yang didakwa berbuat demikian," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Ruslin berkata demikian ketika mengulas laporan Malaysiakini pada Isnin lalu berkenaan ‘ulat’ yang mengambil kesempatan terhadap majikan, atau wakil mereka, yang mahu mengelak beratur panjang di pusat imigresen.

Mengulas lanjut, Ruslin menafikan penglibatan pegawai imigresen dengan pihak tersebut, menjelaskan nombor giliran dikawal dan ditapis pegawai bagi memastikan hanya majikan yang sah dapat ke kaunter.

Katanya lagi, Jabatan Imigresen Shah Alam tidak dapat meronda di segenap premis kerana berkongsi bangunan dengan pusat beli-belah Kompleks PKNS.

Setiap pagi, sebaik saja pengawal keselamatan kompleks membuka pintu masuk, premis di situ akan penuh dengan mereka yang beratur untuk membuat permohonan tersebut.

Urusan yang boleh dilakukan secara dalam talian adalah pembaharuan pas lawatan kerja sementara (EPLKS), pas pekerja (Epas) dan bayaran untuk EPLKS.

Urusan lain pula memerlukan majikan untuk pergi sendiri ke pejabat imigresen.

Penambahbaikan

Ruslin berkata, kawalan lebih ketat akan dikenakan terhadap nombor giliran bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan.

"Pegawai akan tapis dan buat tanda pada nombor giliran dan borang yang dibawa majikan bagi memastikan hanya majikan yang sah dapat menerima khidmat.

"Majikan yang gagal tunjukkan nombor giliran dan bawa dokumen tanpa tanda tidak akan diterima," katanya lagi.

Dia juga berkata Jabatan Imigresen Selangor dan PKNS akan bekerjasama untuk meningkatkan rondaan bagi memastikan tiada 'ulat' di sana.

[Baca berita asal]