Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Lelaki lumpuh jalan semula guna teknologi implan otak

GLOBAL | Seorang lelaki yang lumpuh akibat kemalangan basikal lebih sedekad lalu mampu berjalan kembali dengan menggunakan teknologi yang dibangunkan oleh penyelidik di Switzerland, lapor agensi berita Jerman (dpa).

Pakar saraf di Ecole Polytechnique Federale de Lausanne (EPFL) telah mencipta kaedah rawatan dipanggil "jambatan digital tanpa wayar" yang mampu memulihkan sambungan yang hilang antara otak dan saraf tunjang, menurut penyelidik.

Jambatan digital ini adalah “brain-spine interface” yang membolehkan Gert-Jan Oskam mengawal semula pergerakan kakinya, membolehkannya berdiri, berjalan dan juga menaiki tangga.

Teknologi itu juga membolehkan Oskam memulihkan beberapa fungsi otak yang hilang sejak kemalangan, di mana dia dapat mempamerkan kemahiran motor meskipun teknologi itu dimatikan.

Menurut penyelidik, "pembaikan digital saraf tunjang ini menunjukkan bahawa sambungan saraf baharu telah berkembang".

Oskam, 40, seorang jurutera dari Belanda, tinggal dan bekerja di China apabila dia mengalami kemalangan berbasikal pada 2011.

Pakar saraf Jocelyn Bloch, yang merupakan seorang profesor di EPFL, berkata: "Apabila kami bertemu Gert-Jan, dia tidak dapat berjalan selepas mengalami kecederaan saraf tunjang yang teruk."

Gregoire Courtine, seorang profesor neurosains di EPFL, berkata: "Idea kami adalah untuk mewujudkan semula komunikasi ini dengan “digital bridge” - komunikasi elektronik antara otak dan kawasan saraf tunjang yang masih utuh dan boleh mengawal pergerakan kaki."

Oskam menjalani dua pembedahan untuk menanam elektrod di otak dan saraf tunjang.

Teknologi ini menggunakan kecerdasan buatan untuk menukar pemikiran pergerakan kepada tindakan, mewujudkan hubungan langsung antara otak dan kawasan saraf tunjang.

Prof Courtine berkata: "Buat pertama kalinya, jambatan digital ini memintas kecederaan, memulihkan komunikasi antara dua kawasan sistem saraf pusat yang terputus."

Oskam berkata dia boleh berjalan sekurang-kurangnya 100m atau lebih, bergantung pada hari itu.

Dia juga boleh berjalan menggunakan tongkat apabila implan dimatikan, menimbulkan harapan bahawa teknologi seperti ini dapat memulihkan fungsi saraf yang hilang.

- Bernama-dpa