Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Warga Singapura dibenar cabar kesahihan penahanan selama 8 hari

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur membenarkan permohonan Wong Chun Khuen untuk meneruskan semakan kehakiman bagi mencabar kesahihan penahanan warga Singapura itu selama 8 hari oleh pihak Imigresen antara Mac dan April 2018.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membenarkan permohonan Wong untuk memulakan semakan kehakiman berhubung penahanannya sebelum itu selama 13 hari pada Mac tahun yang sama.

Peguam Arun Kasi mengesahkan kepada Malaysiakini berhubung keputusan permohonan kebenaran semakan kehakiman oleh warga Singapura itu yang disampaikan oleh hakim Ahmad Kamal Md Shahid.

“Mahkamah hari ini memberikan kebenaran semakan kehakiman berhubung pertuduhan kedua membabitkan penahanan tidak sah dari 27 Mac hingga 3 April 2018.

“Bagaimanapun, mahkamah menolak permohonan berhubung pertuduhan pertama, iaitu berhubung (dakwaan) penahanan tidak sah dari 14 hingga 26 Mac 2018, atas alasan masa yang dibenarkan untuk memohon semakan kehakiman telah berlalu, dan mahkamah tidak berpuas hati sebab kelewatan (dalam memfailkan semakan kehakiman berhubung penahanan secara tidak sah tersebut),” kata Arun.

Berikutan itu mahkamah menetapkan tarikh berasingan untuk mendengar hujah mengenai merit cabaran undang-undang berkenaan.

Pengurusan kes selanjutnya bagi semakan kehakiman itu ditetapkan pada 12 Jun.

Pada 5 Jan tahun ini, Wong memfailkan tindakan undang-undang terhadap ketua polis negara- satu-satunya responden yang tidak dinamakan atas dakwaan kegagalan polis menerima, menyiasat dan/atau mengambil tindakan sewajarnya ke atas aduannya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membuat keputusan yang berpihak kepada lelaki itu berhubung dakwaan penahanan secara tidak sah oleh Jabatan Imigresen Malaysia dari 14 hingga 26 Mac 2018, dan dari 27 Mac hingga 3 April, tahun yang sama.

Malaysiakini sebelum ini menyiarkan nasib yang menimpa Wong.

Ditahan bersama warga asing

Dilaporkan Wong ditahan oleh pegawai imigresen bersama beberapa warga asing lain ketika serbuan di rumahnya di Johor Bahru kira-kira jam 11.05 malam pada 28 Feb 2018.

Selepas serbuan berkenaan, dia ditahan di Pusat Tahanan Imigresen Pekan Nenas.

Wong hanya dihadapkan di hadapan majistret pada 26 Mac tahun yang sama, di mana dia mengaku bersalah atas kesalahan imigresen di bawah Seksyen 55E Akta Imigresen kerana melindungi pendatang tanpa izin. Dia didenda RM30,000.

Bagaimanapun, dia tidak dibebaskan serta-merta selepas membayar denda. Wong ditahan selama lapan hari lagi di Penjara Kluang, dan kemudian di depoh tahanan Imigresen Pekan Nenas sebelum dibebaskan pada 4 April 2018.

Peguam kanan persekutuan Liew Horng Bin hadir mewakili Jabatan Peguam Negara berhubung permohonan semakan kehakiman berkenaan.