Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pembangkang ambil peluang mencelah, untuk bahas usul Shahidan

PARLIMEN | Aturan ringkas urusan kerajaan di Dewan Rakyat hari ini memberikan pembangkang peluang yang jarang didapat untuk mendengar dan membahaskan usul persendiriannya.

Walaupun usul persendirian oleh Shahidan Kassim (PN-Arau) mengenai CCTV di sempadan nampaknya tidak mempunyai sebarang kepentingan yang perlu diutamakan namun penting untuk memahami bahawa usul persendirian atau rang undang-undang persendirian hampir tidak pernah didengar di Dewan Rakyat.

Ini kerana Perintah Aturan Mesyuarat Dewan Rakyat menetapkan bahawa urusan kerajaan; rang undang-undang dan pindaan baru menjadi keutamaan, bermakna kerajaan boleh melangkau terlebih dahulu daripada sebarang usul atau rang undang-undang persendirian yang dikemukakan oleh ahli parlimen yang sudah berada dalam senarai menunggu.

Kali terakhir usul persendirian didengar ialah pada 2016, apabila kerajaan BN ketika itu bertindak menggantung urusannya di Dewan Rakyat bagi membenarkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang membacakan rang undang-undang persendiriannya untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) yang dikenali sebagai Akta 355.

Gambar fail.

Dalam kes hari ini, kerajaan hanya mempunyai dua rang undang-undang dengan satu pindaan pendek dalam senarai urusannya.

Rang undang-undang untuk meminda Akta Tenaga Boleh Diperbaharui dan Akta Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari kedua-duanya mengandungi hanya satu pindaan, iaitu membenarkan menteri yang bertanggungjawab menggantung operasi keseluruhan akta atau sebahagian daripadanya di mana-mana bahagian di negara ini.

Ini bermakna jika rang undang-undang itu dilupuskan dengan cepat, mungkin ada masa untuk membahaskan usul Shahidan itu.

Bagaimanapun, kerajaan bertindak menafikan peluang perbahasan ini kepada pembangkang, dengan menggerakkan usul mereka sendiri supaya prosiding Dewan Rakyat hari ini ditamatkan selepas kedua-dua rang undang-undang itu dibahas dan diluluskan.

Usul sebegitu biasanya diluluskan tanpa sebarang tentangan semasa undian suara, tetapi pembangkang mempunyai rancangan lain dalam fikiran - memaksa Dewan Rakyat mengadakan undi blok untuk memutuskan perkara itu.

Bagaimanapun, akhirnya pembangkang gagal untuk membawa parlimen membahaskan usul itu apabila ditewaskan dengan undian 83-52.

[Baca berita penuh]