Afidavit kes kalimah Allah: Aziz Bari sangkal Takiyuddin
Adun Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari membidas Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan berhubung kenyataannya berkaitan afidavit kes Jill Ireland dan penggunaan kalimah "Allah".
Adun DAP itu berkata kenyataan yang dibuat Takiyuddin jelas cuba mengelirukan orang awam demi kepentingan politik.
"Dia jelas cuba memburukkan DAP. Takiyuddin seperti membayangkan saya berkompromi berkenaan kedudukan Islam dan orang Islam.
"Ini langsung tidak benar. Saya buat afidavit atas asas apa yang saya tahu tentang Perlembagaan seperti yang dicerminkan pada peruntukan yang terlibat, serta rangka Perlembagaan," kata pakar undang-undang itu kepada Malaysiakini.
Dia mendakwa video berkenaan perkara itu yang disebarkan di TikTok adalah satu lagi contoh bagaimana PAS menyasarkan orang Islam yang "progresif" menerusi maklumat salah.
Video tersebut dikongsikan Takiyuddin ketika sidang media di Parlimen dua hari lalu, di mana dia mengkritik Aziz, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan dan Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom.
Menerusi afidavit yang dikemukakan, mereka antara lain berkata tidak terkeliru dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut Kristian.
"Pertama sekali, saya buat afidavit atas kapasiti peribadi dan tiada kaitan dengan DAP.
"Di bawah Perlembagaan, Islam adalah bidang kuasa negeri dan raja hanya boleh bertitah bagi pihak negeri.
"Untuk negeri yang tidak beraja seperti Melaka, Pulau Pinang, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan, (soal agama Islam) di bawah Yang di-Pertuan Agong," katanya.
Terdahulu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menjelaskan langkah menarik balik rayuan berkenaan dibuat bagi membolehkan kerajaan meminda atau membatalkan semua undang-undang yang bercanggah dengan keputusan Majlis Raja-Raja Melayu berhubung penggunaan kalimah Allah.
Menurut Anwar Ibrahim antara langkah itu ialah bagi membolehkan kalimah Allah hanya digunakan oleh orang Islam di Semenanjung Malaysia, manakala untuk bukan Islam di Sabah dan Sarawak diberikan sekatan.
Mengulas lanjut, Aziz berkata kes Jill Ireland adalah berkenaan hak penganut Kristian di Sarawak.
"Berdasarkan pemahaman saya, salinan Bible (dalam kes Jill Ireland) bukan untuk disebarkan kepada awam; ia hanya untuk digunakan penganut Kristian.
"Saya berpandangan soal bagaimana orang bukan Islam mengamalkan agama dan bagaimana mereka menyebut nama Tuhan mereka adalah bukan urusan kita," katanya lagi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai