Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

AGC tolak beri penjelasan ‘NFA’ mengenai laporan penyeksaan monyet

Jabatan Peguam Negara (AGC) enggan memberikan penjelasan di sebalik klasifikasi "tiada tindakan lanjut" (NFA) berhubung laporan polis mengenai dakwaan laporan penyeksaan monyet, dedah seorang peguam hak asasi haiwan.

Rajesh Nagarajan memberitahu Malaysiakini bahawa anak guamnya, Hak Asasi Hidupan Liar Malaysia (Hidup), akan memfailkan semakan kehakiman di mahkamah sivil untuk mencabar keputusan AGC untuk tidak mendakwa pelaku penyeksaan yang didakwa di mahkamah jenayah.

Peguam itu berkata AGC enggan memberi sebarang alasan melalui surat bertarikh 22 Mei yang dialamatkan ke firma guamannya Raj & Sach.

Rajesh Nagarajan

Terdahulu melalui surat kepada AGC bertarikh 6 April, peguam itu meminta penjelasan berhubung keputusan mengklasifikasikan sebagai NFA laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa menyeksa seekor bayi kera untuk mendapatkan pengikut dan pendapatan di media sosial.

“Saya mendapat arahan daripada anak guam saya untuk memfailkan semakan kehakiman terhadap keputusan AGC untuk tidak mendakwa pelaku jenayah kejam ini.

"Kami percaya bahawa bukti yang mencukupi telah diberikan tetapi polis dan AGC gagal, bahkan, enggan mengambil tindakan lanjut.

“Bayi monyet itu telah diseksa pada skala yang tidak diketahui. Video penyeksaan itu membuat sesiapa yangt menontonnya sakit perut tetapi AGC enggan mendakwa pelaku?

“Rakyat berhak untuk mengetahui mengapa AGC enggan mendakwa pesalah tetapi dalam surat bertarikh 22 Mei, jabatan itu secara terus terang menyatakan bahawa bukan 'amalan' AGC untuk memberikan alasan di sebalik tindakannya, atau dalam kes ini, tidak bertindak.

“Ini tidak boleh diterima. AGC adalah badan awam yang bertanggungjawab kepada rakyat...” kata Rajesh.

Malaysiakini telah menghubungi AGC untuk mendapatkan maklum balas mengenai perkara itu.

Pada 5 April lalu, Rajesh mengesahkan klasifikasi NFA mengenai perkara itu selepas menerima surat daripada ibu pejabat polis daerah Shah Alam.

Katanya, menurut surat tersebut, polis merujuk kertas siasatan kepada timbalan pendakwa raya pada 30 Mac, dan telah diarah mengklasifikasikan kes itu sebagai NFA.

Dia berkata Hidup kemudian berikrar untuk membawa kes itu kepada AGC, sambil menambah bahawa jika mereka gagal memberikan alasan atau memberi sebab yang tidak boleh diterima, maka kumpulan itu akan memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar keputusan tersebut.

Hidup seterusnya membuat laporan polis pada 20 Januari, dan menggesa polis mengambil tindakan terhadap individu terbabit selepas menerima maklumat daripada kumpulan hak asasi haiwan antarabangsa.

Berdasarkan maklumat yang diterima, penjenayah yang didakwa merakamkan video menyeksa haiwan itu dan menjual rakaman itu kepada sebuah kumpulan di Telegram yang menamakan diri mereka sebagai ‘Monkey Haters’.

Haiwan berkenaan didakwa dipukul dengan objek tumpul atau diseksa sehingga menjerit kesakitan.

Monyet tersebut disenaraikan sebagai spesies hidupan liar yang dilindungi bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar.

Mendera hidupan liar yang dilindungi mengikut akta ini boleh dihukum denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM50,000, atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya sekali.

Akta Kebajikan Haiwan 2015 pula boleh mendenda individu yang didapati bersalah melakukan kekejaman terhadap haiwan antara RM20,000 dan RM100,000, atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Walaupun banyak terdapat di Malaysia, kera ekor panjang itu adalah spesies terancam di seluruh dunia dan bilangannya semakin berkurangan, menurut Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN).

Bilangannya dipercayai berkurangan sehingga kira-kira 40 peratus sejak dalam tempoh 40 tahun yang lalu, dan dijangka menurun lagi kepada 50 peratus dalam 40 tahun akan datang, kata IUCN.

[Baca berita penuh]