Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Swatch kecewa dengan rampasan jam tangan Rainbow

Kumpulan Swatch kecewa dan prihatin dengan rampasan jam tangan berwarna pelangi yang meraikan hak lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) oleh Kementerian Dalam Negeri.

"Kami lantang mencabar bahawa koleksi jam tangan kami yang menggunakan warna pelangi dan membawa mesej keamanan serta kasih sayang boleh mendatangkan bahaya kepada sesiapa sahaja," kata ketua pegawai eksekutif syarikat itu, Nick Hayek dalam satu kenyataan kepada Reuters.

Ini susulan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang merampas jam tangan Swatch itu semasa serbuan pada 13 dan 14 Mei lalu.

Adalah dilaporkan bahawa pegawai KDN menyerbu kedai Swatch di Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Selanjutnya, lima lagi kedai Swatch diberi amaran - KTCC (Terengganu), Aeon KB, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Jam tangan “Koleksi Pride" pembuat jam tangan Switzerland itu dicipta untuk meraikan pergerakan ‘pride’ dan membawa mesej kesamarataan dan kepelbagaian.

Syarikat itu berkata ia akan mengambil tindakan undang-undang untuk mendapatkan semula jam tangan tersebut, lapor akhbar Switzerland Tages-Anzeiger.

Bendera pelangi itu melambangkan pergerakan LGBT, yang menyokong hak golongan lesbian, gay, biseksual, transgender dan interseks.

Kumpulan hak asasi manusia dan aktivis telah menimbulkan kebimbangan mengenai sikap tidak bertolak ansur Malaysia yang semakin memuncak terhadap komuniti LGBT sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Tahun lalu, pihak berkuasa agama Islam negara ini menyiasat 18 orang yang ditahan semasa pesta Halloween yang dihadiri ahli komuniti LGBT.

Hubungan sejenis sesama jantina adalah haram di Malaysia, walaupun sabitannya jarang berlaku.

Malaysia mempunyai sistem perundangan dwi-landasan, dengan undang-undang jenayah dan keluarga Islam dilaksanakan bersama undang-undang sivil yang terpakai kepada orang Islam.

- Reuters