Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Kerajaan tubuh jawatankuasa khas tangani isu LGBT

Kerajaan telah membentuk jawatankuasa khas antara agensi untuk menangani isu berkaitan LGBTQIA Islam di Malaysia dan mengadakan mesyuarat pertamanya bulan lepas, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri Mohd Na’im Mokhtar.

Senator yang bertanggungjawab hal ehwal agama itu, dalam jawapan bertulis kepada Ahmad Saad (PN-Pokok Sena), berkata jawatankuasa yang ditubuhkan melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu terdiri daripada kementerian, jabatan, agensi, dan NGO yang akan menyelaraskan isu-isu LGBT di kalangan umat Islam, dari sudut pendidikan, advokasi, bimbingan, dan penguatkuasaan.

"Ahli jawatankuasa berperanan dan melaksanakan fungsi mengikut bidang kuasa masing-masing," katanya sambil menambah jawatankuasa itu dijadualkan bermesyuarat setahun sekali atau lebih jika difikirkan perlu.

Dari Januari 2021 hingga April tahun ini, Na'im berkata agensi itu telah menjalankan pelbagai inisiatif dan penguatkuasaan dijalankan meliputi aspek pendidikan, pencegahan dan advokasi.

Selain itu, Na'im berkata agensi itu juga menjalankan penyelidikan, dakwah dan bimbingan, selain tindakan serta penguatkuasaan.

Dia menjawab soalan Ahmad yang bertanyakan sama ada kerajaan mengambil sebarang langkah strategik melalui pendekatan keseluruhan kerajaan untuk mengekang sebarang usaha menormalkan budaya LGBTQIA di negara ini.

Antara lain, Na'im berkata dalam bidang pendidikan, pencegahan dan advokasi, 18 program dilaksanakan oleh agensi seperti Jakim, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan Jabatan Mufti Selangor.

Program tersebut termasuk webinar dan seminar mengenai isu sosial, dan program PROSTAR 2.0 Kementerian Kesihatan yang memberi tumpuan kepada pencegahan Aids dalam kalangan remaja.

Dari segi tindakan dan penguatkuasaan, Mohd Na’im memetik pencegahan filem animasi Lightyear daripada ditayangkan di pawagam tempatan, dan penyiasatan Pergerakan Wanita untuk mempromosikan LGBT.

Seterusnya, Na'im menegaskan pendirian kerajaan untuk tidak mengiktiraf komuniti LGBTQIA, selaras dengan status Islam sebagai agama rasmi Malaysia.

"Perlakuan LGBT (QIA) adalah bertentangan dengan agama, moral dan budaya Malaysia. Bukan itu sahaja, malah perbuatan homoseksual adalah bertentangan dengan undang-undang negara.

"Bukan sahaja undang-undang jenayah Syariah, malah juga undang-undang Sivil. Di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan, adalah menjadi satu kesalahan bagi mana-mana orang yang melakukan persetubuhan yang bertentangan dengan aturan fitrah.

"Ia bermaksud, hak komuniti LGBT untuk mengamalkan gaya hidup mereka masih tertakluk kepada undang-undang yang tidak membenarkan perlakuan tersebut di Malaysia.

"Walaupun begitu, kerajaan tetap tidak mendiskriminasi mana-mana kumpulan, termasuklah LGBT, untuk menikmati hak asasi mereka seperti yang dinyatakan dalam Perlembagaan Persekutuan seperti hak untuk pendidikan, hak untuk mengamalkan agama, dan hak untuk bekerja selaras dengan Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Perkara 8(2) menetapkan bahawa tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas dasar agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, atau jantina dalam mana-mana undang-undang.