Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

MP Kapar saran hanya pegawai dengan latihan khusus tangani krisis kesihatan mental'

Seorang ahli parlimen pembangkang yang membahaskan cadangan pindaan kepada Akta Kesihatan Mental mempersoalkan kesediaan kerajaan untuk melatih semua pegawai yang akan menangani krisis berkaitan daripada enam agensi penguatkuasaan dan Jabatan Kebajikan.

Dr Halimah Ali (PN-Kapar) berkata ini memandangkan pegawai berkenaan mempunyai kewajipan untuk mengenal pasti dan menangkap individu yang dianggap mempunyai "kecelaruan mental" yang boleh membahayakan diri sendiri atau orang lain.

"Saya lihat ada lima kategori pegawai intervensi krisis ini. Tapi yang disebut di sini ialah mana-mana anggota polis, pegawai maritim, pegawai bomba dan pegawai bomba bantuan, pasukan pertahanan awam dan pegawai jabatan kebajikan.

“Saya setuju, seperti yang disebut oleh Kuala Langat (Dr Ahmad Yunus Hairi) bahawa pegawai perubatan dan pegawai pembantu perubatan adalah orang yang berkelayakan (dimasukkan dalam senarai pegawai intervensi krisis) kerana ini adalah isu kesihatan mental.

"Nama akta pun Kesihatan Mental. Sudah tentu mereka lebih memahami situasi psikologi dan kecelaruan mental," katanya.

Dalam bentuknya sekarang, Halimah berkata istilah "mana-mana pegawai" yang digunakan dalam Rang Undang-undang itu agak kabur dan akan memberi kuasa kepada sebilangan besar kakitangan dengan tanggungjawab berat untuk mengenal pasti individu yang disifatkan sebagai mempunyai "kecelaruan mental" dan seterusnya membuat campur tangan segera.

Dia seterusnya menyatakan bagaimana pegawai intervensi krisis, melainkan diberi latihan yang mencukupi, mungkin tidak bersedia untuk berhadapan situasi yang tegang apabila berhadapan dengan orang yang mempunyai "kecelaruan mental" yang melakukan percubaan membunuh diri.

“Saya ingin bertanya adakah kerajaan sudah bersedia untuk memastikan semua yang dinamakan sebagai pegawai intervensi krisis diberi latihan dan taklimat secukupnya sebelum mereka diberi mandat yang begitu berat dan berisiko tinggi.

"Mereka akan diberi kuasa untuk menceroboh premis, memasuki rumah, merosakkan harta awam...semua ini adalah situasi tegang, jadi saya ingin bertanya sama ada istilah 'mana-mana pegawai' boleh dihadkan kepada mereka yang diberi latihan khusus sahaja," katanya. .

Terdahulu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Ramkarpal Singh membentangkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang pindaan untuk memberi kuasa kepada pegawai intervensi krisis untuk mengenal pasti dan menangkap.

Ini berikutan pindaan kepada Seksyen 309 Kanun Keseksaan untuk menyah jenayah cubaan bunuh diri.