Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Peruntukan RM1 bilion untuk selesai masalah air Kelantan - TPM

Kerajaan menyediakan peruntukan berjumlah RM1 bilion kepada Kelantan untuk menyelesaikan masalah bekalan air di negeri itu bermula tahun ini, maklum Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi.

"Peruntukan itu akan dilakukan secara tata kelola dan terus, manakala dari segi operasi kita serahkan kepada Kementerian Kewangan," katanya seperti dilapor Bernama.

Dalam pada itu, Zahid yang juga menteri kemajuan desa dan wilayah berkata kerajaan menerusi Felcra Berhad sedang mengenal pasti keluasan tanah yang mencukupi untuk digunakan sebagai aktiviti agromakanan.

"Setakat ini, kita (Felcra) sudah memiliki 3,000 hektar estet padi di Perak dan sudah mengenal pasti sebanyak 12,000 hektar di Sarawak dan 6,000 hektar di Sabah untuk dijadikan estet padi," katanya.

Gambar hiasan.

Zahid bercakap kepada media selepas hadir Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Felcra Berhad di Bukit Tiu, di Machang hari ini, yang turut dihadiri, Pengerusi Felcra Berhad Ahmad Jazlan Yaakub.

Sebelum ini, Perdana Menteri Anwar Ibrahim menyentuh permasalahan bekalan air bersih di Kelantan ketika menyampaikan ucapan pada majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani peringkat negeri di Kota Bharu, pada 12 Mei lalu.

Anwar menegaskan adalah tidak wajar selepas lebih 60 tahun merdeka masalah air bersih di Kelantan tetap berterusan malah dijadikan modal politik.

Selanjutnya, pada 15 Mei Anwar berkata masalah air di Kelantan dan Sabah akan cuba ditangani Kerajaan Persekutuan meskipun melibatkan belanja besar.

Menurut Anwar, dia sudah berunding dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mengenai masalah air itu dan mempersembahkan kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bahawa kerajaan pusat perlu mengambil alih tanggungjawab mengenai masalah air walaupun belanjanya besar.

Masalah perbekalan air terawat begitu sinonim di Kelantan dan sudah berlarutan sejak sekian lama seolah-olah tidak berpenghujung.

Masalah kualiti air sentiasa menjadi buah mulut rakyat Kelantan sehingga 'air karat' menjadi modal untuk mengkritik kerajaan negeri atau pun parti yang mewakili Kelantan iaitu PAS.

Biasanya semasa memberikan penjelasan kerajaan negeri menjelaskan paip yang digunakan oleh Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) selaku operator induk untuk menyalurkan air ke premis-premis pengguna merupakan paip lama.

Gambar fail, Anwar ketika melawat Kelantan.

Usia paip yang dikatakan sekitar 40 tahun itu menyebabkan berlaku kerosakan menyebabkan wujudnya air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW) selain kualiti air yang tidak memuaskan.

Pada penghujung 2021, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Abdullah dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membina sebuah takungan besar yang dijangka dapat menyelesaikan isu perbekalan sumber keperluan asas rakyat itu.

Timbalan Presiden PAS yang ketika itu menjadi menteri alam sekitar dan air Tuan Ibrahim Tuan Man juga memperkatakan mengenai projek takungan air pinggiran sungai (Taps) yang menelan belanja RM1.3 bilion.

Namun, sehingga ke hari ini, masalah air di Kelantan masih belum diselesaikan sepenuhnya.