Zaid: K'jaan perlu dipertahankan berhubung isu kalimah Allah
Zaid Ibrahim berkata kalangan yang menyokong kerajaan, khususnya penyokong Umno, perlu mempertahankan kerajaan berkenaan isu kalimah Allah.
Baginya, kerajaan menangani isu itu dalam masyarakat majmuk di Malaysia secara demokrasi.
"Dalam masyarakat majmuk di Malaysia ini sudah tentulah ada kumpulan majoriti dan minoriti, kumpulan Islam dan bukan Islam.
"Kalau ada pertelingkahan pendapat, kehendak dan tuntutan, menjadi tanggunjawab perdana menteri dan pihak kerajaan untuk menyelesaikannya dengan aman.
"Bukan nak laga-lagakan rakyat dan kumpulan tertentu. Nak laga-lagakan mereka ini tak susah tetapi nak beri keamanan ini yang susah," katanya dalam hantaran video di Facebook hari ini.
"Jadi, kita orang Umno dan yang menyokong kerajaan hari ini kena sedar bahawa tiada lagi parti yang mempertahankan demokrasi di Malaysia selain parti dalam kerajaan sekarang," katanya sambil mendakwa ada pihak yang mahu menggunakan isu tersebut untuk menjatuhkan kepimpinan Anwar.
Zaid mengulas kenyataan Anwar bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam penggunaan kalimah Allah adalah khusus untuk kes di Sarawak dan tidak terikat dengan keputusan di negeri lain.
Anwar sebelum ini juga dilapor sebagai berkata kerajaan akan mengekalkan dasar sedia ada berhubung isu penggunaan kalimah itu dalam kalangan orang bukan Islam.
Dia juga berkata kabinet mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong untuk mempersembahkan cadangan-cadangan bagi mengukuhkan penguatkuasaan dasar berhubung kalimah Allah kepada Majlis Raja-Raja.
Mengulas lanjut, Zaid membangkitkan pihak yang disifatkannya sebagai menggunakan agama demi kepentingan politik.
"Apa yang saya pelik, bila sampai isu kalimah Allah kita bukan main lagi marah bangsa lain, agama lain menggunakan kalimah tersebut tetapi kita berdiam diri malah menyokong pula orang Islam kita yang menggunakan agama demi kepentingan politik," katanya.
Sehubungan itu, dia menyeru anggota Umno agar terus mempertahankan kepimpinan kerajaan dan Anwar, yang menurutnya satu-satunya pemimpin Melayu yang mahu terus mempertahankan demokrasi di Malaysia.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai