Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Masalah kekurangan gula hampir selesai sepenuhnya, kata Fuziah

Kerajaan tidak bercadang memberikan semula subsidi kepada syarikat terbabit dalam pengeluaran gula di negara ini.

Perkara itu juga tidak ditimbulkan dalam sesi libat urus membabitkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dengan wakil pemain industri itu semalam.

Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, berkata isu membabitkan bekalan gula di negara ini juga hampir selesai dan menafikan berlaku kekurangan bekalan di pasaran ketika ini.

"Bekalan gula tidak ada masalah, mungkin kalau berlaku pun kerana ketika musim perayaan seperti Tahun Baharu Cina dan kemudian Aidilfitri, ada peningkatan penggunaan komoditi itu.

"Sekarang pun kita sedang memastikan bekalan dihantar ke kawasan yang terjejas dan ia bukan disebabkan tidak ada (bekalan gula), tapi disebabkan faktor penghantaran," katanya dalam sidang media di Kuantan, hari ini.

Selasa lalu sebuah syarikat pengeluar gula tempatan memaklumkan pemain industri itu tidak menerima subsidi daripada kerajaan sejak 2013.

MSM Malaysia Holdings Sdn Bhd dalam kenyataan medianya memaklumkan industri berkenaan beroperasi dalam industri terkawal ditadbir KPDN mengikut Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dinyatakan dalam Jadual 1 Peraturan-peraturan Kawalan Bekalan 1974.

Fuziah turut memberitahu pengguna tidak perlu panik jika kawasan mereka tidak mempunyai bekalan gula kerana KPDN sedang berusaha mengatasi masalah itu.

"Tidak perlu buat pembelian panik kerana bekalan gula memang ada, cuma dalam proses untuk dihantar ke pasaran.

"Awal bulan ini pun KPDN sudah lancarkan Op Manis bagi menangani aduan berkaitan masalah kekurangan gula dan setakat ini, bekalan sudah semakin stabil," katanya.

KPDN pada Mei lalu melancarkan Op Manis selepas menerima aduan kekurangan bekalan gula di Kelantan.

Isu itu kemudiannya dilaporkan di Terengganu sebelum turut dikatakan berlaku di beberapa daerah di Pahang.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Pahang, Sim Choon Siang, berkata isu kekurangan gula ada dilaporkan di Raub dan Maran minggu lalu.

"Macam di Raub, masalah berlaku kerana pengguna dari Kelantan datang ke situ untuk membeli gula berikutan ada masalah (kekurangan) bekalan di tempat mereka.

"Berkaitan masalah kekurangan bekalan di Maran pula disebabkan ramai peniaga panik apabila ada khabar angin mengenai masalah kekurangan bekalan gula, jadi mereka (peniaga) membeli dalam jumlah banyak untuk dijadikan stok," katanya.

Sim bagaimanapun berkata, masalah itu dapat diselesaikan tidak sampai 48 jam selepas aduan diterima.