Konsert Coldplay: Ketua Pemuda PAS K'tan tegur Khairul Aming
Ketua Pemuda PAS Kelantan Mohamad Kamal Mohamed menegur pempengaruh media sosial Khairul Aming melalui warkah terbuka susulan hantarannya berhubung pembelian tiket konsert kumpulan rock terkenal British, Coldplay baru-baru ini.
Mohamad Kamal menekankan kesan akibat perbuatan usahawan digital dari Kelantan itu yang seolah-olah menyokong gerakan LGBT dengan mempromosikan kejayaan pembelian tiket konsert kumpulan tersebut yang bakal diadakan di Kuala Lumpur pada 22 November ini.
“Saya mahu mengajak saudara untuk memikirkan kesan akibat budaya LGBT yang akan dibawa bersama dalam konsert Coldplay nanti.
“Sanggupkah saudara menjadi salah seorang penyumbang kepada sebaran budaya tidak sihat terutama kepada anak-anak muda?
“Saya percaya di usia sekarang saudara telah matang dalam membuat pertimbangan.
"Apa lagi ingin saya katakan saudara tidak sepatutnya terlibat dalam kempen secara tidak langsung begitu kerana saudara adalah ikutan ramai anak muda,” katanya sambil mendoakan supaya pemilik produk Sambal Nyet Berapi itu membetulkan kesilapannya.
Pada Selasa lalu, penganjur GoLive Asia mengadakan prajualan tiket Coldplay untuk pelanggan CIMB yang menarik 400,000 pembeli.
Salah seorang daripada pembeli itu, Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, turut memuatnaik kesukaran proses pembelian tiket Coldplay, sehingga dia terpaksa membawa komputer ribanya ke dalam bilik air agar tidak terlepas untuk melakukan pembelian.
Kepalang sedih
Mengulas lanjut, surat Mohamad Kamal yang dipaparkan dalam akhbar rasmi PAS, Harakah Daily berkata Khairul yang mempunyai imej yang bersih tidak sewajarnya mempromosikan konsert artis yang lantang mempromosikan gerakan LGBT.
“Alang kepalang kesedihan, terguris hati saya apabila membaca posting twitter saudara yang bersungguh menempah tiket.
“Pastinya siapa saya untuk menghalang keinginan orang lain tetapi suka saya menitipkan pesan lantaran saudara adalah saudara seagama saya,” katanya.
PAS sebelum ini mendesak agak konsert itu dibatalkan, dengan mengaitkan kumpulan itu dengan penyokong gerakan LGBT.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai