Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Tindakan tegas terhadap pihak provokasi, tular isu azan - Polis

Polis Pulau Pinang akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terus menularkan dan melakukan provokasi berhubung isu laungan azan menggunakan pembesar suara di kondominium Tri Pinnacle, Tanjong Tokong di George Town.

Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata perkara itu telah diselesaikan secara harmoni dan kini tiada lagi konflik antara pihak surau dan badan pengurusan bersama (JMB) kondominium tersebut.

“Malah Timbalan Ketua Menteri I Datuk Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) sendiri turun padang bagi menjernihkan dan menyelesaikan kekeliruan yang timbul berkait isu terbabit semalam," katanya pada sidang akhbar di George Town semalam.

Beliau juga menjelaskan isu dibangkitkan menerusi media sosial seperti TikTok berhubung perkara itu adalah tidak benar dan apa yang ditularkan itu boleh menimbulkan kegusaran awam serta mencetuskan isu perkauman.

"Saya sebagai Ketua Polis Pulau Pinang ingin menegaskan kita tidak akan teragak-agak mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak yang cuba menularkan apa-apa jenis media sosial (TikTok) untuk memprovokasi, mencetus kemarahan dan menimbulkan isu perkauman atau kegusaran awam berhubung kes ini," katanya.

Khaw berkata setakat semalam, pihaknya menerima sebanyak 21 laporan polis daripada pelbagai pihak berhubung kes itu.

Sebelum ini, sebuah video memaparkan sesi dialog antara pihak JMB Kondominium Tri Pinnacle di Tanjung Tokong dengan penduduk berhubung isu semasa termasuk mengenai isu laungan azan, tular di media sosial.

Bagaimanapun, JMB Kondominium Tri Pinnacle telah memohon maaf secara terbuka kepada penduduk beragama Islam dan umat Islam berhubung isu terbabit.

Pengerusinya Alex Low dilaporkan berkata pihaknya tidak mempunyai niat untuk melarang laungan azan di surau berkenaan seperti dakwaan pihak tertentu di media sosial.

- Bernama