Pekerja ladang tuntut undang-undang perumahan, mahu rumah sendiri
Sekumpulan pekerja ladang sekitar Selangor berkumpul di hadapan bangunan pentadbiran negeri di Shah Alam bagi menuntut penggubalan undang-undang bagi menyelesaikan isu perumahan empat generasi pekerja ladang di negeri itu.
Mereka yang terdiri daripada pekerja, bekas pekerja dan penduduk di 41 buah ladang di seluruh Selangor ini bergabung dalam kumpulan dinamakan Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML).
Dalam memorandum yang diserahkan kepada setiausaha politik menteri besar Juwairiya Zulkifli, JSML menggesa kerajaan menggubal enakmen yang memastikan semua pekerja ladang memiliki rumah sendiri.
Jurucakap JSML, yang juga timbalan pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), S Arutchelvan berkata isu perumahan pekerja ladang masih gagal diselesaikan sejak puluhan tahun.
“Hari ini tak ada undang-undang khusus itu sebabnya bila pekerja berumur 60 tahun mereka diusir keluar begitu sahaja walaupun sudah tiga empat generasi duduk kerja di ladang.
“Pampasan mereka dapat untuk faedah berhenti kerja itu dalam lingkungan RM20,000. Itu pun jarang dapat pampasan sampai RM20,000.
“Tapi harga rumah di pasaran semasa RM300,000 ke RM500,000,” katanya di luar perkarangan Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah hari ini.
Arutchelvan berkata walaupun dasar sudah ada, ia tidak berjalan kerana tiada undang-undang khusus.
“Kita tengok hari ini syarikat besar buat projek perumahan tetapi syarikat besar ini tak laksana laksana skim perumahan ladang.
“Itu sebabnya kita berada di sini bagi menuntut satu undang-undang diwujudkan.
“Sebab bila tak ada undang-undang, syarikat ladang dan syarikat pemaju tak akan ikut polisi ditetapkan sebab ia hanya polisi,” katanya.
Telefon kapitalis
Sementara itu, Arutchelvan juga menuntut Perdana Menteri, Anwar Ibrahim campur tangan membela nasib pekerja ladang selaras dengan kenyataannya untuk membantu golongan 40 peratus berpendapatan paling rendah (B40) dan miskin tegar.
“Sebelum ini (Anwar) telefon kapitalis minta bantu pesawah.
“Jadi kali ini kita minta perdana menteri bantu arahkan supaya satu undang-undang bagi memastikan pekerja ladang ada rumah sendiri,” katanya.
Dia dipercayai merujuk kepada permintaan Anwar kepada pemilik Padiberas Nasional Bhd (Bernas) Syed Mokhtar Al-Bukhary supaya menderma RM60 juta dan 30 peratus keuntungan selama lebih 20 tahun kepada pesawah pada Mac lalu.
JSML dibentuk pada tahun 1993 untuk memperjuangkan tuntutan masyarakat ladang, antaranya melawan pengusiran paksa di banyak tempat sejak.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai