Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hadi: PAS bukan rumah tumpangan politik

Kerjasama PAS dan persefahaman politik yang dilakukan dengan semua pihak berpandukan hukum Islam dan ada batas-batas sempadannya, kata Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.

Jelas Abdul Hadi, PAS bekerjasama dengan sesuatu pihak dan membatalkan kerjasama itu apabila dilihat melanggar nas, prinsip dan strategi yang betul sehingga memaksa parti itu keluar daripada landasan Islam.

"Sehingga kini, kerjasama PAS dan persefahaman politik yang dilakukannya dengan semua pihak tetap berpandukan hukum Islam dan batas sempadannya

"Apabila ada pihak yang melanggar dasar PAS atau memaksa PAS keluar daripada landasan Islam atau melanggar konsep yang wajib seperti kewajipan menegakkan negara Islam atau konsep amar ma‘ruf dan nahi munkar atau ancaman terhadap Islam dan penganutnya oleh pihak lain, maka PAS tidak teragak-agak membatalkan kerjasama atau keluar daripada pakatan politik tersebut.

"Sikap PAS pula tidak jumud tanpa perubahan apabila berlakunya perubahan sikap dan keadaannya.

"Maka, ada parti yang berulang kali berhubung dan memutuskan hubungan dengan PAS," katanya dalam tulisan Minda Presiden yang disiarkan di Facebooknya, hari ini.

Tulisan Abdul Hadi itu dipercayai merujuk kepada ajakan "berdamai" kepada PAS yang dilontarkan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim baru-baru ini.

Malaysiakini sebelum ini melaporkan perdana menteri berharap hubungan silaturahim dia dengan PAS termasuk presiden parti itu dapat dijalinkan semula dalam usaha membina semula negara dan mengelak daripada kegagalan.

Mengulas kenyataan Anwar, Ketua Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari dilihat terbuka untuk menyahut salam perdamaian yang dihulurkan perdana menteri kepada parti berkenaan.

Namun, dalam keterbukaan itu Pemuda PAS menegaskan ia mestilah turut membabitkan Perikatan Nasional (PN) secara keseluruhan, bukannya dengan salah satu parti komponen gabungan terbabit.

Terma dan syarat perdamaian berkenaan pula boleh dibincang asalkan ia membawa manfaat kepada rakyat.

Dalam pada itu, Abdul Hadi menegaskan bahawa PAS tidak boleh dijadikan "rumah tumpangan" oleh pihak tertentu.

"Maka, PAS tidak boleh dijadikan rumah tumpangan politik sementara waktu atau laksana bola yang boleh ditendang oleh pihak lain dengan mudah atau untuk berniaga politik dengan janji pangkat, harta dan takhta," katanya lagi.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata PAS memilih untuk setia bersama Perikatan Nasional (PN) walaupun menerima ‘pinangan’ DAP untuk bekerjasama di dalam satu wadah politik nasional.

Tuan Ibrahim dipetik Utusan Malaysia berkata, pihaknya tidak sesekali memungkiri janji dan berbohong kepada pengundi dengan meninggalkan PN.

"(Kami) tidak ada isu peribadi (dengan DAP) tetapi kami akan berpegang pada janji kami yang dibuat kepada rakyat semasa kempen pilihan raya dan kami tidak akan berbohong kepada pengundi (dengan meninggalkan PN)," katanya.

Katanya, PAS dan PN secara amnya akan terus memainkan peranan sebagai pembangkang yang membina di Parlimen