TKM turun padang, pertikaian isu azan surau selesai petang ini?
Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dijadual mengadakan sidang media di sebuah surau di Pulau Pinang yang terpalit kontroversi isu laungan azan.
Sidang media itu akan diadakan Surau Saidina Umar Tri Pinnacle, Tanjung Tokong pada jam enam petang ini.
Zakiyuddin ketika dihubungi Malaysiakini enggan mengulas isu itu buat masa ini kerana akan menyentuhnya dalam sesi khusus petang ini.
Beberapa hari lepas tersebar dakwaan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMP) pangsapuri itu melarang surau menggunakan pembesar suara.
Isu itu menjadi hangat selepas diuar-uarkan oleh aktivis lantang negeri Mohd Sophian Mohd Zain melalui video di media sosial.
“Dia memang tak benarkan laungkan azan. Nak suruh speaker itu letak di dalam.
“Sebelum ini dah minta kurangkan kepada volume 1, tapi masih suruh perlahankan lagi,” dakwanya kepada Malaysiakini selepas itu.
Selain itu turut tersebar video rakaman pertengkaran dalam sebuah mesyuarat berkaitan isu itu.
Pengerusi surau itu Muhammad Nasir Abd Majid itu memberitahu Malaysiakini ia berlaku pada 23 Mac lalu dalam mesyuart agung JMB.
“Tuan boleh dengar sendiri, mereka (JMB) yang minta pembesar suara diletakkan di dalam surau saja,” katanya.
Dia mendedahkan isu itu telah berlarutan sejak tahun lalu dan mereka telah pun menurunkan kelantangan pembesar suara surau itu.
Bagaimanapun, katanya, mereka tidak dapat memenuhi permintaan itu dengan hanya memasang pembesar suara di dalam surau.
“Kondo ini tinggi, kalau tak pakai pembesar suara tak akan dengar sampai ke tingkat 48 (paling atas),” katanya.
Sementara itu, Nasir menegaskan bahasa kes di surau mereka itu tidak melibatkan sebarang isu perkauman atau politik.
“Ia tentang sensetiviti umat Islam,” jelasnya.
Malaysiakini cuba menghubungi JMB sejak semalam tetapi tidak berjaya.
Laporan polis berkaitan kes itu telah dibuat oleh anggota jawatankuasa surau itu tetapi mereka enggan berkongsinya dengan pihak media.
Malam ini, dua lagi laporan polis dilapor akan dibuat, satu oleh Ketua Pemuda PKR Permatang Pauh, Fahmi Zainol di di Ibu Pejabat Polis Timur Laut.
Sophian juga berkata akan membuat laporan di balai polis Tanjung Tokong pada malam ini dan mengajak orang ramai turut hadir memberikan sokongan.
Berkaitan: Isu azan: Polis panggil JMB, pengurusan surau beri keterangan
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai