ULASAN | Kalimah Allah: Bukan petanda k'jaan tak lagi bela Islam
ULASAN | Keputusan kerajaan menarik balik rayuan terhadap keputusan mahkamah tinggi pada Mac 2021 yang berpihak kepada pemohon Jill Ireland dari Sarawak meningkatkan lagi suhu polemik yang berlarutan sejak 2008.
Pada 11 Mei 2008, cakera padat (CD) berjudul Cara Hidup Dalam Kerajaan Allah, Hidup Benar Dalam Kerajaan Allah dan Ibadah Yang Benar Dalam Kerajaan Allah telah dirampas daripada Jill Ireland oleh pihak kastam di Terminal Penerbangan Tambang Rendah (LCCT) Sepang.
Asas kes itu ialah pertikaian pemohon Jill Ireland kepada pekeliling Kementerian Dalam Negeri (KDN) pada 1986 yang melarang penggunaan kalimah Allah dan beberapa perkataan lain dalam penerbitan untuk penganut Kristian.
Tujuan pekeliling itu adalah untuk mengelakkan kekeliruan kepada orang Islam yang boleh menjejaskan ketenteraman awam.
Hakim Nor Bee Ariffin telah memutuskan bahawa: "... the decision to make the 1986 directive was also 'irrational and perverse', as there was total disregard that it would be in direct conflict with the still valid 1982 gazetted government order. (The 1986 directive would effectively be a ban on the Alkitab due to the use of the word Allah, while the 1982 order only bans the Alkitab outside of churches)."
Ringkasnya pertikaian itu dihujahkan oleh pemohon berasaskan Perkara 11 Perlembagaan Malaysia tentang haknya mengamalkan kebebasan beragama dan bagi tujuan pembelajaran peribadi.
Selain itu asas Perlembagaan Persekutuan memberikan hak dalam perkara 8 tentang keadilan yang perlu diberikan kepada warganegara tanpa diskriminasi agama.
Keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Mac 2021 yang memberikan hak kepada Jill Ireland untuk mendapatkan semula CD yang dirampas jelas adalah masalah teknikaliti perundangan yang melihat sejauh mana Pekeliling KDN melanggar perkara 11 atau tidak.
Keputusan itu juga mengambil kira bahawa ada kawalan yang tersedia ada dalam pengecualian iaitu larangan menyebarkan agama lain melalui perkara 11(4), dan dalam enakmen kawalan pengembangan agama lain di negeri-negeri yang telah menggubalnya (kecuali beberapa negeri tertentu).
Tak bercanggah dengan prinsip
Dengan kata lain keputusan mahkamah tinggi pada 2021 adalah menjawab masalah tuntutan kebebasan peribadi seorang warganegara mengamalkan kepercayaannya bagi tujuan pembelajaran, dan tanpa menyebarkannya.
Ia diputuskan atas asas pentafsiran perundangan negara dan bukan atas asas teologi agama.
Hakim Nor Bee menjelaskan: "The right to profess and practise one’s faith should include the right to have access to religious materials, noting it was not disputed that the eight CDs seized were for Jill Ireland’s personal religious edification.
"As for the constitutional right to equality before the law and non-discrimination sought by Jill Ireland, it was clear that the Sarawakian had been discriminated.
"The facts in Jill Ireland’s case showed that the home minister’s 1986 decision — which was being challenged — was based on public order considerations and not theological considerations."
Kerajaan Malaysia adalah kerajaan yang terbina atas prinsip hukum yang menghormati undang-undang, dan pada waktu yang sama menjunjung asas Islam sebagai agama persekutuan.
Dalam prinsip keempat Madani - iaitu hormat atau respect - perlu menterjemahkan erti antara lain menghormati hak peribadi seseorang untuk mempelajari agama yang dianutinya selama ini.
Ia tidak bercanggah dengan kehendak prinsip "tiada paksaan dalam beragama" kepada orang bukan Islam sebagai tanda menghormati hak mereka.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika melancarkan Malaysia Madani berkata: "It encourages mutual respect as a social and cultural norm to enhance inclusiveness" (Madani menggalakkan prinsip saling hormat-menghormati sebagai satu norma sosial dan budaya bagi menggalakkan keterangkuman).
Pihak yang mencetuskan isu kalimah Allah tidak perlu mengheret ia kepada perdebatan emosi sehingga memberi peluang kepada pihak berkepentingan melebarkan jurang kebencian antara agama sesama rakyat.
Tidak perlu isu ini dilebarkan kepada dakwaan kononnya Islam tercabar kerana ia adalah soal teknikal perundangan pada tuntutan hak peribadi warganegara yang bukan Islam untuk tujuan pembelajarannya.
Hak mendapat keadilan
Pada waktu yang sama tiada halangan untuk perdebatan teologi selagi ia dilakukan bil hikmah (hikmah) mauizatil hasanah (peringatan baik) jadilhum billati hia ahsan (perdebatan sihat).
Kerajaan Malaysia telah berjanji untuk menjunjung Islam sebagai agama persekutuan dan merancakkan lagi keberkesanan dakwah yang penuh rahmah.
Ruang Islam terbuka luas dalam Malaysia Madani.
Janganlah ia disempitkan hanya dengan keputusan mahkamah pada 2021 itu yang tujuannya hanyalah untuk menjawab hak peribadi seorang warganegara bagi tujuan pembelajaran agamanya berasaskan kepada prinsip hukum sebagaimana termaktub dalam perlembagaan.
Saya yakin keputusan penarikan rayuan ke atas keputusan mahkamah tinggi pada Mac 2021 bukan kerana Malaysia Madani tidak membela Islam seperti didakwa sesetengah pihak, sebaliknya adalah untuk memelihara hak individu yang berhak mendapat keadilan tanpa prejudis, dan pada waktu yang sama tidak membawa kesan terjejasnya ketenteraman awam.
Jangan meracuni fikiran rakyat dalam isu ini dengan menyemai bibit kebencian atas kepentingan politik sempit pihak yang terdesak.
MUJAHID YUSOF ialah naib presiden Amanah dan bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai