Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Titah beri peruntukan adil: 'Tafsiran kami tak sama dengan MB Pahang'

Isu membabitkan peruntukan untuk Adun pembangkang di Pahang dilihat masih belum selesai.

Menteri Besar Pahang Wan Rosdy Wan Ismail ketika ucapan penggulungan titah diraja ketika sidang DUN pada Jumaat lalu memberitahu kerajaan negeri sedia mempertimbangkan titah Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Sultan Abdullah supaya memberikan peruntukan kepada Adun pembangkang.

Namun kata Naib Presiden Umno itu, peruntukan terbabit bukanlah secara tetap tetapi berkala.

Pesuruhjaya PAS Pahang Rosli Abdul Jabar dalam hantaran di Facebook hari ini berkata, terpulang kepada Wan Rosdy untuk mentafsir titah Tengku Hassanal ketika merasmikan sidang DUN pada 8 Mei lalu

"Apa yang kami faham daripada titah ucapan tersebut ialah peruntukan tetap yang telah diberikan kepada Adun kerajaan, turut diberikan kepada Adun pembangkang.

"Tafsiran kami dan tafsiran menteri besar Pahang tidak sama, maka terpulang kepada menteri besar untuk mentafsirkan titah ucapan tersebut mengikut apa yang dia fahami.

"Bagi kami, ada ataupun tiada, kami tetap akan menaburkan khidmat bakti kami dengan sebaik mungkin meskipun dalam apa jua keadaan," katanya.

Wan Rosdy

Sidang DUN Pahang sebelum ini menjadi agak 'panas' apabila wakil kerajaan dan pembangkang membahaskan titah berkenaan.

Bagaimanapun Wan Rosdy ketika ucapan penggulungan pada 12 Mei lalu berkata tiada mana-mana kerajaan yang akan memberikan peruntukan yang sama dengan pembangkang.

Katanya, kerajaan Pahang juga sudah menyampaikan sumbangan ke kawasan seluruh negeri, termasuk di kawasan DUN pembangkang.

Katanya lagi, antaranya adalah bantuan awal persekolahan dan bantuan-bantuan lain melalui inisiatif bantuan prihatin Pahang yang diperkenalkan sejak dia menjadi menteri besar.

Sementara itu, Rosli yang juga Adun Tanjung Lumpur berkata pembangkang Pahang akan terus menyusun strategi dan bersedia merempuh segala halangan sehingga menang pada pilihan raya akan datang.

Tengku Hassanal ketika merasmikan istiadat pembukaan sidang DUN Pahang pada 8 Mei lalu bertitah bahawa landskap politik perlu berubah selepas hampir 66 tahun negara mencapai kemerdekaan.

"(Tempoh) 66 tahun ini sepatutnya telah matang dan yang menjadi kerajaan raikan pembangkang kerana mereka juga telah dipilih oleh rakyat.

"Peruntukan yang adil perlu diberikan kepada mereka (pembangkang) juga," titah baginda.