Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Pengguna elektrik berlebihan takkan nikmati caj kadar subsidi

Terdapat kenaikan kadar bayaran elektrik terhadap isi rumah yang mencatatkan penggunaan berlebihan, kata Anwar Ibrahim.

Perdana menteri memberi bayangan kumpulan yang akan terlibat dalam dasar baru itu bukanlah terdiri daripada golongan bawahan (B40) atau pertengahan (M40).

“Yang akan dinaikkan (kadar elektrik), rumah-rumah perseorangan yang penggunaannya itu sangat tinggi, umpamanya satu rumah guna tiga (atau) empat aircond (penyaman udara).

“Dia harus bayar kos sebenar dan tidak menggunakan subsidi.

“Maknanya M40, B40 tidak dinaikkan tapi rumah-rumah yang menggunakan elektrik yang tinggi, itu akan menggunakan bayaran mengikut kos harga pasaran,” katanya.

Anwar berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) di Perdana Putra, Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli.

Mengulas lanjut, Anwar berkata kerajaan akan mengekalkan kadar harga sedia ada elektrik untuk golongan B40 dan M40, namun perubahan dibuat untuk kilang-kilang besar.

Selain subsidi elektrik, Anwar yang juga menteri kewangan berkata MTEN turut membincangkan isu subsidi diesel dan bersetuju untuk memperluaskan pemberiannya kepada sektor pengangkutan barangan melalui Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS).

Kesan ketirisan subsidi diesel

Dengan adanya sistem SKDS itu, kata Anwar, kerajaan berharap masalah ketirisan dan penyeludupan diesel dapat dikekang.

“Tumpuan kerajaan yang seterusnya ialah untuk menambah baik sistem subsidi diesel yang menyaksikan tanggungan subsidi negara melonjak kepada RM13 bilion bagi tahun 2022.

“Peningkatan mendadak penggunaan diesel berbanding jumlah kenderaan diesel membayangkan ketirisan melalui penyeludupan yang perlu ditangani segera,” katanya.

Anwar yang juga ahli parlimen Tambun menjelaskan data mengenai penggunaan diesel yang melonjak 37.7 peratus (6.1 bilion liter pada  2019 kepada 8.4 bilion liter pada 2022) berbanding jumlah kenderaan berdaftar yang menggunakan diesel (hanya meningkat 2.4 peratus) menunjukkan wujud isu salah guna, penyeludupan dan ketirisan.

“Pemberian diesel subsidi itu diteruskan tetapi mesti melalui fleet card.

“Dengan cara ini kita dapat kesan siapa perlu boleh pakai, tapi jangan ambil diesel dan jual kepada kilang-kilang seperti mana berlaku sekarang," katanya.

Sementara itu, Anwar berkata MTEN akan mewujudkan pusat maklumat sosioekonomi isi rumah yang dikenali sebagai Pangkalan Data Utama (Padu) yang berfungsi untuk mengenal pasti sasaran subsidi dengan lebih berkesan.

“Kerajaan bincang keperluan mempunyai data yang lengkap kerana ia soal ekonomi digital yang menentukan hala tuju dan masa depan negara.

“…kita ada keperluan, kekuatan tetapi kita tahu ada kekurangan. Kita ambil keputusan menyediakan dan meletakkan data pembentukan Padu,” katanya.