Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

‘Tiada campur tangan istana Terengganu dalam kes editor Sarawak Report’

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman hari ini menegaskan bahawa pengarang dan pengasas portal Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown akan mendapat perbicaraan yang adil di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu.

Dia berkata demikian di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur semasa penghujahan balas terhadap permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes fitnah jenayah terhadapnya dari mahkamah di Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Wartawan itu memohon agar kesnya itu dibicarakan oleh Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur kerana bimbang akan sikap pilih kasih oleh pihak mahkamah rendah negeri, berikutan kes tersebut dikaitkan dengan laporan polis yang dibuat oleh pihak istana Terengganu.

Kes fitnah jenayah itu membabitkan perenggan dalam edisi awal buku Rewcastle-Brown 'The Sarawak Report - The inside story of 1MDB' yang menyebut nama Sultanah Nur Zahirah. Walau bagaimanapun, edisi buku seterusnya telah mengeluarkan perenggan berkenaan.

Sultanah Nur Zahirah

Haslinda memberitahu hakim K Muniandy pagi ini bahawa hujahan daripada pasukan peguam Rewcastle-Brown tidak menunjukkan bagaimana mahkamah rendah di Kuala Terengganu akan berlaku tidak adil jika kes tersebut didengar di sana.

“Sepanjang proses pendakwaan, tidak pernah ada campur tangan istana (Terengganu) dalam kes ini.

“Pegawai mahkamah yang dilantik akan menjalankan tugas dengan adil dan saksama tidak kira sama ada ia melibatkan istana atau pemohon (Rewcastle-Brown),” kata Haslinda.

TPP itu menegaskan bahawa permohonan pemindahan sepatutnya ditolak kerana peguam wartawan itu sepatutnya membuat permohonan di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu dan bukannya di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Haslinda berkata pihak berkuasa Malaysia melalui notis merah Interpol antara lain gagal menyampaikan waran tangkap oleh mahkamah ke atas Rewcastle-Brown, walaupun dia telah didakwa tanpa kehadiran pada 23 Sept 2021.

Terdahulu semasa prosiding mahkamah di hadapan Muniandy hari ini, peguam Rewcastle-Brown, Guok Ngek Seong berhujah bahawa wartawan itu mempunyai kebimbangan yang munasabah mengenai sikap pilih kasih mahkamah di Terengganu untuk membicarakan kes tersebut.

Peguam itu menambah bahawa pemohon tidak mempersoalkan integriti mahkamah rendah tetapi dia mungkin tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana mahkamah majistret berada di negeri yang sama laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak istana bagi pihak sultanah.

Pada akhir prosiding pagi ini, Muniandy menetapkan 21 Jun untuk menyampaikan keputusannya sama ada untuk membenarkan pemindahan kes tersebut ataupun tidak.

Rewcastle-Brown mempunyai permohonan berasingan yang belum selesai dibicarakan di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur untuk membatalkan pertuduhan tersebut.

Pertuduhan adalah mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi hari ini diberitahu bahawa Editor Sarawak Report Clare Rewcastle-Brown yang berdepan pertuduhan memfitnah Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah akan mendapat perbicaraan yang adil sekiranya kes itu dijalankan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Timbalan Pendakwa Raya Noor Haslinda Che Seman dalam hujahannya berkata ini adalah kerana sepanjang proses pendakwaan kes itu, tiada sebarang campur tangan daripada pihak istana (Terengganu).

Menurut Noor Haslinda pegawai mahkamah yang telah dilantik dalam kes itu juga akan menjalankan tugas dengan adil serta saksama, tidak mengira sama ada kes itu melibatkan pihak istana atau kes kepentingan awam.

“Tidak ada satu keterangan yang konklusif dikemukakan pemohon (Rewcastle-Brown) dalam hujahan mereka yang menunjukkan Mahkamah Majistret berkemungkinan akan bertindak tidak adil dalam pendengaran kes ini.

“Saya percaya kewibawaan hakim bicara tidak perlu dipertikai kerana ia menjurus kepada penghinaan mahkamah. Saya mohon mahkamah menolak permohonan pemohon,” katanya ketika berhujah dalam permohonan Rewcastle-Brown untuk memindahkan kes mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap Sultanah Nur Zahirah melalui buku ‘The Sarawak Report - The Inside Story of the 1MDB Expose’, dari Mahkamah Majistret Kuala Terengganu ke Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

Selain itu, Noor Haslinda berkata pemohon sepatutnya memfailkan permohonan untuk memindahkan kes itu di Mahkamah Majistret di Kuala Terengganu bukannya di Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur.

“Pemohon seharusnya membuat permohonan itu kepada Majistret sebagai hakim bicara jika terdapat sebarang isu berkaitan Perlembagaan Persekutuan bagi rujukan dibuat ke Mahkamah Tinggi sepertimana yang diperuntukkan di bawah Seksyen 30 Akta Mahkamah Kehakiman 1964,” katanya dan menambah sebutan kes itu ditetapkan Khamis ini di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu.

Mengenai notis waran tangkap terhadap Rewcastle-Brown bagi membolehkannya hadir di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu supaya pertuduhan dibacakan terhadapnya, Noor Haslinda berkata notis itu diserah melalui Interpol, namun ia gagal diserahkan kepada wanita itu.

Terdahulu, peguam Guok Ngek Seong yang mewakili Rewcastle-Brown berkata anak guamnya memohon untuk memindahkan kesnya ke Mahkamah Tinggi di sini berikutan beliau bimbang kemungkinan terdapat sikap pilih kasih dalam perbicaraan kes itu.

“Pemohon tidak mempersoalkan integriti mahkamah rendah tetapi dia mungkin bimbang tidak mendapat perbicaraan yang adil kerana Mahkamah Majistret berada di negeri yang sama dan laporan polis dibuat terhadapnya oleh pihak istana," kata peguam itu.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim K. Muniandy menetapkan 21 Jun ini bagi keputusan sama ada membenarkan permohonan Rewcastle-Brown atau tidak.

Rewcastle-Brown yang berasal dari United Kingdom didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu secara tanpa kehadiran tertuduh pada 23 Sept 2021 atas pertuduhan itu mengikut Seksyen 500 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.