Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Anak-anak Loh masuk Islam secara sah - Hakim

Loh Siew Hong gagal dalam usaha untuk membatalkan penukaran agama Islam secara sepihak ke atas tiga anak-anaknya.

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur petang tadi menolak semakan kehakiman ibu tunggal berusia 35 tahun itu berhubung status agama ketiga-tiga anaknya itu, iaitu pasangan kembar berusia 15 tahun dan kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun.

Pada 2019, bekas suaminya Muhammad Nagahswaran Muniandy, 35, didakwa melarikan diri bersama anak-anak mereka. Dia kemudiannya memeluk Islam pada 2020 dan menukar agama anak-anak itu tanpa persetujuannya.

Walaupun mahkamah memberikan hak penjagaan anak-anak kepada Loh pada 2021, namun, mereka hanya bersatu semula pada awal 2022 melalui perintah mahkamah.

Semasa perbicaraan dalam talian, hari ini, Hakim Wan Ahmad Farid Wan Salleh berkata, tiada bukti dikemuka di mahkamah bahawa agama ketiga-tiga kanak-kanak itu sudah ditukar semula kepada agama Hindu.

Malah, katanya, mereka telah memeluk Islam secara sah mengikut undang-undang negeri Islam Perlis, dengan afidavit pihak berkuasa Islam negeri mengesahkan bahawa kanak-kanak itu mengucap kalimah syahadah pada tahun 2020.

Katanya, ibu tunggal itu juga sendiri tidak pernah menafikan tiga anaknya masih mengamalkan ajaran Islam seperti menunaikan solat, walaupun ketika berada dalam jagaannya.

Loh memfailkan permohonan semakan kehakiman itu pada 25 Mac 2022 dengan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis dinamakan sebagai responden pertama hingga keempat.

Menurut permohonan yang difailkan, Loh antara lain memohon agar anak-anaknya, diisytiharkan sebagai penganut agama Hindu dan akuan memeluk agama Islam semua kanak-kanak itu bertarikh 7 Julai 2020 dibatalkan.

[Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur menolak permohonan ibu tunggal, Loh Siew Hong untuk mencabar penukaran agama tiga anaknya kepada Islam secara unilateral tanpa persetujuannya oleh bekas suaminya.

Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh membuat keputusan itu selepas memutuskan bahawa tiada bukti ketiga-tiga anak wanita itu berhenti menganut agama Islam apabila berada di bawah jagaan ibu mereka.

Hakim berkata Loh, sebagai pemohon tidak menafikan bahawa anak-anaknya terus mengamalkan agama Islam dengan menunaikan solat subuh setiap hari apabila mereka berada dalam jagaannya.

“Jadi, walaupun sijil penukaran agama bukan bukti muktamad, memandangkan sifatnya yang unilateral, ‘kekuatan bukti’ akan menunjukkan bahawa ketiga-tiga anak itu terus menganut agama Islam," katanya.

Beliau berkata tiada bukti bahawa ketiga-tiga anak wanita itu telah kembali ke agama Hindu.

Mengenai isu penukaran agama, Wan Ahmad Farid mendapati tiada pertikaian sijil penukaran agama telah dikeluarkan untuk kanak-kanak berkenaan.

Beliau berkata sijil itu dikeluarkan selepas responden pertama iaitu Pendaftar Mualaf Negeri Perlis berpuas hati bahawa keperluan undang-undang di bawah Seksyen 107(1) Enakmen Perlis 2006 dipatuhi apabila kanak-kanak itu telah mengisytiharkan syahadah dengan rela hati.

“Sijil penukaran agama yang dikeluarkan oleh responden pertama dalam kes itu adalah bukti muktamad fakta yang dinyatakan dalam sijil tersebut," katanya.

Wan Ahmad Farid berkata afidavit Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Mohd Nazim Mohd Noor menunjukkan bahawa kanak-kanak itu menunjukkan niat melalui tindakan mereka untuk terus berada dalam Islam walaupun berada di bawah jagaan Loh tahun lepas.

Hakim berkata pada afidavit Mohd Nazim menunjukkan kanak-kanak itu pada 22 Feb tahun lepas masih mengamalkan ajaran Islam, menunaikan solat subuh, malah seorang daripada mereka mahu menjadi peguam syarie.

Hakim turut memetik satu aspek dalam satu lagi kes penukaran agama secara unilateral, kes M. Indira Gandhi, yang melibatkan kebajikan kanak-kanak.

“Memandangkan semua keadaan kes itu, tiada bukti di hadapan saya bahawa ketiga-tiga kanak-kanak itu tidak gembira tinggal bersama pemohon. Oleh itu, kebajikan kanak-kanak, dalam maksud kes Indira Ghandi, menetapkan bahawa status quo harus kekal.

"Atas sebab-sebab yang disebutkan di atas, permohonan untuk semakan kehakiman ini ditolak," kata hakim itu sambil menambah bahawa mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos kerana kes itu adalah soal kepentingan awam.

Pada 1 Ogos 2022, Loh mendapat kebenaran daripada Mahkamah Tinggi untuk memulakan permohonan semakan kehakiman.

Loh, 36, memfailkan permohonan itu pada 25 Mac tahun lepas dan menamakan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis, MAIPs, Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin dan kerajaan negeri Perlis sebagai responden pertama hingga keempat.

Ibu tunggal itu memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan bekas suaminya, M. Nagahswaran, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk membenarkan Pendaftar Mualaf Negeri Perlis mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa persetujuannya.

Wanita itu juga memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya itu, sebagai kanak-kanak, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk memeluk agama Islam tanpa kebenarannya.

Beliau juga memohon perintah certiorari untuk membatalkan pengisytiharan pemelukan agama Islam, bertarikh 7 Julai 2020, yang dikeluarkan oleh Pendaftar Mualaf Perlis atas nama tiga anaknya, dan juga kad lain mengenai pemelukan agama Islam yang telah dikeluarkan oleh pihak lain, dan juga menghalang mana-mana pihak daripada mengeluarkan kad tersebut.

Tiga kanak-kanak itu, kembar perempuan berusia 15 tahun dan lelaki berusia 11 tahun yang diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, kemudiannya diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.