Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Ketua SPRM: Kamu tak suka saya, itu bukan masalah saya

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki, yang tempoh perkhidmatannya dilanjutkan setahun lagi, tidak terganggu dengan para pengkritiknya.

Dalam temu bual dengan New Straits Times, dia ditanya tentang asakan  pelbagai pihak yang "menyerangnya kiri, kanan dan tengah."

“Saya okay sahaja. Memang ada yang tidak suka atau mahu saya keluar dari sistem. Kamu tak suka saya, itu bukan masalah saya,” katanya.

Sebelum ini, Azam terpalit dengan skandal pemilikan saham yang menimbulkan persoalan mengenai konflik kepentingan dan jika jumlah saham tersebut mampu dimiliki dengan gaji sebagai seorang penjawat awam.

Bagaimanapun, dia mendakwa saham itu bukan miliknya tetapi dibeli oleh abangnya atas namanya. Ini menyaksikan Suruhanjaya Sekuriti (SC) kemudiannya turut menyiasat jika terdapat kemungkinan penyalahgunaan akaun dagangannya.

SC akhirnya mendedahkan bahawa Azam mempunyai kawalan penuh ke atas akaun dagangannya sendiri dan tiada dagangan proksi yang terlibat.

Menurut Azam, agensi itu sedang menangani lebih banyak kes rasuah membabitkan pegawai tinggi kerajaan, serta wanita.

“Kita melihat peningkatan jumlah wanita yang terlibat dalam rasuah. Pada 2019, hanya sembilan wanita yang disabitkan dengan jenayah berkaitan rasuah, tetapi ini melonjak kepada 57 tahun lepas.

"Ini menunjukkan bahawa wanita juga terdedah dengan rasuah. Apabila ada peluang untuk rasuah, kedua-dua jantina akan mengambil kesempatan untuk memperkayakan diri masing-masing," katanya kepada akhbar harian berbahasa Inggeris itu.

Mendedahkan bahawa dua hingga empat peratus daripada keluaran dalam negara kasar negara boleh hilang akibat rasuah, Azam berkata SPRM tidak menumpukan kepada kes kepentingan awam untuk mengurangkan ketirisan.

“Ini berjumlah sehingga RM30 bilion hingga RM40 bilion setahun.

"Sekiranya kita boleh selamatkan sekurang-kurangnya RM10 bilion, itu sudah memadai. Kamu juga boleh menggunakan wang itu untuk membayar bonus kepada rakyat," katanya.

[Baca berita penuh]