Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Najib masih alami cirit-birit, bicara kes 1MDB tangguh lagi

Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sekali lagi menangguhkan perbicaraan rasuah 1MDB Najib Abdul Razak bernilai RM2.28 bilion hari ini kerana bekas perdana menteri itu masih mengalami cirit-birit.

Pakar klinikal Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Mohd Fadhli Zil Ikram Karim memberitahu hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah bahawa tertuduh pagi ini mengadu mengenai keadaan najisnya.

Fadhli menjelaskan pemeriksaan terhadap bekas menteri kewangan itu sekitar jam 7.20 pagi hari ini mendapati tertuduh masih mengalami cirit-birit aktif.

Doktor itu berkata Najib, 69, menunjukkan tanda-tanda berisiko tinggi dehidrasi dan risiko tekanan darah rendah, sambil berkata pihaknya terpaksa menahan tertuduh di wad di HKL dengan titisan intravena untuk memastikan dia terhidrasi serta pemantauan berterusan.

"Pada pendapat pakar saya, dia (Najib) tidak layak ke mahkamah untuk menghadiri perbicaraan kerana terdapat risiko dehidrasi dan (Najib memerlukan) pemantauan berkala di hospital," kata Fadhli sambil menambah bahawa dia ialah doktor yang mengeluarkan sijil sakit (MC) kepada Najib bukan sahaja untuk hari ini tetapi juga dua hari lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah akan disambung semula pada 21 Jun. Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya Ahmad Akram Gharib.

Pada 9 Mei, mahkamah jenayah menangguhkan perbicaraan pada hari itu kerana bekas ahli parlimen Pekan itu mendapat MC selama dua hari kerana cirit-birit.

Pegawai perubatan Penjara Kajang Dr Mohd Hafiz Mohd Hoshni memberitahu mahkamah ketika itu bahawa Najib dirujuk ke HKL selepas mengalami sakit perut dan membuang air besar sebanyak empat kali.

Pegawai perubatan itu turut menjelaskan, selepas mengambil pil arang, tertuduh masih dalam keadaan sama dan mengalami dehidrasi ringan serta sedikit demam dengan suhu 37.8 darjah Celcius.

[Baca berita asal]