Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Hamzah: Hairan, nama saya diheret dalam pertuduhan rasuah

Ketua pembangkang Hamzah Zainudin berkata tindakan memetik namanya dalam pertuduhan terhadap seorang 'datuk seri' semalam bertujuan untuk mencemarkan reputasinya.

"Pertuduhan rasuah terhadap individu bernama Sim Choo Thiam menyebutkan bahawa ia membabitkan projek-projek di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) semasa saya menjadi menteri. Malah, pertuduhan tersebut juga menyebutkan nama saya.

"Itulah yang janggal dan menghairankan saya kenapa nama saya disebut sedangkan saya tiada pembabitan langsung.

"Bila diperhalusi keempat-empat pertuduhan tersebut ia menyebut bahawa suapan adalah untuk “mendapatkan apa-apa projek milik agensi-agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri”.

"Jadi apakah projek yang menjadi hal perkara rasuah yang dimaksudkan," katanya pada kenyataan media malam tadi.

Dia berkata demikian ketika mengulas empat pertuduhan rasuah terhadap Sim di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam, atas satu pertuduhan meminta dan tiga pertuduhan menerima rasuah membabitkan RM15 juta yang kononnya berlaku dua tahun lalu.

Berdasarkan empat pertuduhan rasuah, lelaki berusia 63 tahun itu didakwa melakukan kesalahan itu antara Jun (tarikh tertentu tidak disebut) dan 30 Julai 2021, sebagai dorongan untuk Hamzah yang ketika itu menteri dalam negeri semasa pentadbiran Perikatan Nasional, untuk membantu Asia Coding Centre Sdn Bhd untuk mendapatkan sebarang projek daripada agensi di bawah kementerian berkenaan.

Hamzah juga menyoal kenapa keterangannya dirakam pada petang semalam bermula kira-kira pukul 4.30 petang hingga pukul 7 malam oleh pegawai SPRM selepas pertuduhan ke atas Sim telah dibawa ke mahkamah.

"Pertuduhan yang mengheret nama saya ini jelas bertujuan untuk merosakkan nama baik saya, Bersatu dan Perikatan Nasional.

"Lebih-lebih lagi timbalan perdana menteri merangkap Presiden Umno sendiri (Ahmad Zahid Hamidi) sebelum ini secara terbuka menyebut rancangan untuk mewujudkan kluster mahkamah dari kalangan pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional," dakwanya.

Hamzah berkata namanya sengaja diheret dalam pertuduhan itu kerana kerajaan bimbang dengan kekuatan PN dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

"Saya juga faham ada pihak tertentu yang panik dengan kedudukannya yang sedang goyah ketika ini tetapi janganlah bertindak sehingga menyebabkan rakyat merasakan SPRM boleh diperalat oleh pemimpin tertentu.

Sementara itu, Hamzah turut mengucapkan tahniah kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki setelah perkhidmatannya disambungkan selama setahun lagi.

Namun, katanya dia mengharapkan perlanjutan tempoh perkhidmatan itu tiada muslihat tertentu.