Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

PDRM sedang teliti laporan salah laku polis oleh SPRM

Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) PDRM sedang menyediakan laporan lengkap susulan pendedahan SPRM bahawa polis mengabaikan laporan salah laku anggota pasukan itu.

Ketua Polis Negara (IGP) Acryl Sani Abdullah Sani berkata pihaknya juga sedang meneliti laporan salah laku dikatakan tidak diambil tindakan.

"Dalam masa sama, kita juga sedang meneliti mana laporan yang dikatakan kita tidak maklumkan kepada SPRM untuk tindakan yang patut diambil kepada mereka terlibat.

"Saya ingin memberi jaminan bahawa PDRM tidak pernah berkompromi atau leka malah sentiasa bekerjasama erat dengan setiap agensi untuk memastikan integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan," katanya ketika ditemui pemberita di Kuantan, Pahang hari ini.

Terdahulu, dia menyaksikan majlis pemakaian pangkat dan serah terima tugas ketua polis Pahang dan pengerusi persatuan keluarga polis (Perkep) Pahang.

Bekas Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Yahaya Othman menerima tugas sebagai Ketua Polis Pahang yang baru, menggantikan Ramli Mohamed Yoosuf yang akan bertukar ke Bukit Aman sebagai Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial.

Semalam, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dalam temubual dengan New Straits Times mendedahkan beberapa agensi kerajaan mengabaikan lebih 500 laporan salah laku kakitangan mereka, walaupun pihaknya mengesyorkan diambil tindakan.

Berdasarkan statistik, daripada 533 laporan, sebahagian besar (125) membabitkan jabatan-jabatan polis manakala di tempat kedua adalah Jabatan Pengangkutan Jalan.

Bagaimanapun, Azam berkata jumlah besar laporan berhubung polis boleh difahami memandangkan jumlah anggota penguatkuasanya yang besar.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Acryl Sani menegaskan pihaknya tidak pernah mengambil ringan isu berkaitan tindakan terhadap mana-mana pegawai dan angota yang didapati melakukan kesalahan tata tertib.

"Kita akan sentiasa berikan kerjasama kepada bukan sahaja SPRM tetapi juga kepada Siap (Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa) untuk memaklumkan kepada mereka tindakan yang sepatutnya dan sewajarnya diambil.

"Mungkin ada dalam proses, ada yang lambat dihantar tetapi tidak ada laporan yang kita ketepikan atau kita tidak susuli dengan tindakan kerana kita memandang serius apa juga pelanggaran tata tertib oleh mana-mana pihak.

"Seperti yang saya katakan tadi, kita sentiasa berpegang teguh dengan integriti dalam apa juga yang kita lakukan," katanya.