Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Bekas MP fail rayuan kes saman bekas bendahari cabang PKR

Bekas ahli parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan merujuk ke Mahkamah Rayuan untuk membatalkan keputusan mahkamah yang mengarahkannya membayar ganti rugi RM150,000 kepada bekas bendahari PKR Cabang Sungai Siput dan suaminya.

Peguamnya Muhamad Samsul Nizam Sohhimi mengesahkan dengan Malaysiakini petang ini mengenai pemfailan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi dalam saman fitnah terhadap bekas ahli parlimen itu oleh R Indrani dan S Selvakumar.

Menurut salinan notis rayuan yang difailkan pada 15 Mac, perayu Gobalakrishnan merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur sebelum ini pada 23 Feb.

Pada 23 Feb, pesuruhjaya kehakiman Raja Ahmad Mohzanuddin Shah Raja Mohzan memerintahkan bekas ahli parlimen itu membayar RM150,000 kepada Indrani dan Selvakumar, yang juga juruterbang sebuah syarikat penerbangan komersial.

Pasangan itu memfailkan tindakan fitnah terhadap defendan kerana didakwa menerbitkan tiga penerbitan berunsur fitnah pada 4 Jun 2019. Plaintif memfailkan tindakan sivil pada 7 Nov tahun yang sama.

Penerbitan itu didakwa terdiri daripada dua mesej gambar WhatsApp dan mesej suara WhatsApp, menuduh pasangan itu telah menipu ramai ahli perniagaan.

Mahkamah Tinggi telah memberikan ganti rugi kepada Selvakumar dan Indrani masing-masing RM50,000 dan RM100,000, dan juga memerintahkan Gobalakrishnan membayar kos RM40,000 kepada kedua-dua plaintif.

Pasangan itu diwakili peguam dari firma guaman Zaid Ibrahim Suflan TH Liew & Partners.