Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Faizal nafi MP PN tandatangan SD untuk jatuhkan kerajaan

Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menafikan ahli parlimen Perikatan Nasional (PN) telah menandatangai akuan bersumpah (SD) untuk menumbangkan kerajaan persekutuan diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Ahmad Faizal sebaliknya berkata tumpuan utama pembangkang buat masa ini adalah menang di PRN di enam negeri yang akan dilaksanakan.

"PN memang tidak buat SD. Kita ada74 kerusi dan kita sedar perlu menjalankan tanggungjawab sebagi pembangkang yang berwibawa dan itu yang kita akan teruskan.

"Fokus PN hari ini adalah untuk cuba mengekalkan kerajaan negeri di Terengganu, Kelatan dan Kedah dan cuba mencari jalan mengambil alih kerajaan Selangor, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan dalam PRN," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri anjuran DUN Gombak Setia, hari ini.

Dia berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan khabar angin itu, termasuk hantaran Facebook yang dibuat pemimpin Bersatu Muhammad Faiz Na'aman yang seolah olah bermaksud PN telah mempunyai 126 sokongan ahli parlimen.

Selain itu, akhir bulan lalu timbul dakwaan berkenaan komplot untuk menjatuhkan kerajaan menerusi peletakan jawatan sejumlah ahli parlimen kerajaan, dengan mereka akan bertanding semula di bawah tiket PN.

Namun, Ahmad Faizal berpandangan hantaran Faiz itu tiada kaitan dengan sokongan ahli parlimen kepada PN.

"Saya rasa sebenarnya dia tak ada cakap ada 126 sokongan. (Media) kena periksa dengan dia balik, itu bukan apa yang dia katakan.

"Dia tak sebut 126 (ahli parlimen beri) sokongan, orang boleh cakap macam-macam dengan hantaran itu," katanya lagi.

Ahmad Faizal menafikan desas-desus bahawa ahli parlimen pembangkang menandatangani SD menyokong Setiausaha Agung PN Hamzah Zainuddin sebagai perdana menteri.

"Saya tidak fikir begitu, saya tidak percaya (ada yang tandatangan SD untuk Hamzah).

"Kita tak perlu fikir sangat pasal SD. Biar kita fikir berkhidmat kepada rakyat, itu yang perlu kita buat," katanya.