Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN | Punca dan jalan penyelesaian masalah air Kelantan

ULASAN | Apabila menyebut tentang Kelantan, banyak pihak yang berpandangan ia adalah satu-satunya negeri yang amat bermasalah dalam soal bekalan air, dengan gangguan dan kekurangan bekalan, tekanan yang tidak mencukupi sehingga air tidak keluar daripada paip, masalah air kotor dan masalah air berkarat.

Isu tersebut menjadi begitu sinonim dengan Kelantan sehingga ia sering disebut-sebut pelbagai pihak, di samping sering dijadikan modal penting pihak lawan untuk menjatuhkan kerajaan Kelantan yang dipegang PAS sejak puluhan tahun lalu.

Namun semakin lantang isu itu dibangkitkan termasuk pada PRU15 November tahun lalu, semakin kuat pula sokongan rakyat Kelantan kepada PAS.

Rakyat Kelantan bukanlah tidak mengalami keperitan berhubung masalah ini. Malah banyak dalam kalangan mereka yang turut melakukan inisiatif tersendiri untuk mengatasinya termasuk menggali telaga sendiri, membina telaga tiub dan menyediakan tandak air di kawasan berbukit atau pedalaman.

Mereka terpaksa berbuat demikian untuk terus hidup sejajar dengan kepentingan air dalam kehidupan, setelah sedar kerajaan negeri menerusi syarikat Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) sememangnya tidak berkeupayaan untuk membekalkan air dengan sempurna kepada rakyatnya ekoran beberapa kekangan yang terpaksa dihadapi.

Rakyat Kelantan yang majoritinya ahli dan penyokong PAS cukup sedar kerajaan negeri selaku kerajaan yang bertanggungjawab pasti telah berusaha sedaya mungkin untuk mengatasi masalah itu demi kepentingan rakyatnya.

Jika masalah berkenaan tetap juga tidak berjaya diatasi, ia tentunya bukan kehendak kerajaan. Sebaliknya, para pemimpin kerajaan negeri sendiri pasti amat kecewa dan kesal dengan keadaan itu.

Isu air di Kelantan telah muncul sejak kerajaan Kelantan diambil alih daripada BN oleh kepimpinan ulamak dengan Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat menjadi menteri besar pertamanya.

Apabila Allahyarham Nik Aziz ditanya pihak media berhubung masalah itu 11 tahun lalu, jawapannya cukup ringkas dan jelas, "Ambo (saya) pun tak tahu. Itu (tugas) kerajaan pusat," katanya.

Sedekad kemudian, ketika PAS menjadi sebahagian daripada kerajaan pusat di bawah PN, isu itu hangat kembali terutama selepas insiden kebakaran di Berek 12 di Kota Bharu. Pihak bomba didakwa tidak cukup bekalan air dalam usaha memadamkan kebakaran.

Jawapan menteri

28 Julai 2022 lalu, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man ketika menjadi Menteri Alam Sekitar dan Air menjelaskan masalah utama yang membawa kepada isu bekalan air di Kelantan bertitik tolak daripada kelemahan tadbir urus dan kedudukan kewangan syarikat AKSB yang tidak mampan.

Dia berkata berdasarkan analisis yang dibuat, perkara itu menyebabkan AKSB menghadapi kesukaran untuk menyediakan perkhidmatan bekalan air yang berkualiti kepada penduduk negeri.

"Rentetan daripada itu juga, AKSB menghadapi masalah untuk membangunkan aset air bagi memenuhi permintaan seiring dengan pertumbuhan pembangunan, menaiktaraf aset-aset sedia ada bagi meningkatkan rizab margin, kepatuhan kepada parameter kualiti air minum dan melaksanakan program penggantian paip bagi mengurangkan kadar air tidak berhasil (NRW)," jelasnya.

Jawapan tersebut diberikan oleh Tuan Ibrahim di Dewan Rakyat sebagai menjawab pertanyaan lisan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa Nik Nazmi Nik Ahmad yang meminta menteri menyatakan punca masalah bekalan air di Kelantan dan rancangan penyelesaiannya.

Usaha mengatasi masalah

Berdasarkan pengesanan pihak bertanggungjawab, punca masalah air kotor di Kelantan dikatakan kerana paip yang digunakan oleh AKSB untuk menyalurkan air ke premis-premis pengguna merupakan paip lama.

Usia paip yang digunakan dikatakan sekitar 40 tahun sehingga menyebabkan berlaku kerosakan yang menyebabkan wujudnya air tidak berhasil atau non-revenue water (NRW), selain kualiti air yang tidak memuaskan.

Jarak paip sepanjang lebih 8,000 kilometer di seluruh negeri dan dilaporkan kira-kira separuh daripada itu, iaitu lebih 4,000 kilometer berlaku NRW, sekali gus menyebabkan bekalan air yang disalurkan 'hilang' dan yang sampai kepada pengguna tidak seperti kadar sepatutnya.

Keadaan itu antara lain juga menyebabkan perbekalan air bertekanan rendah atau mungkin kadang-kadang langsung tidak menitik di paip premis-premis pengguna.

Dalam menangani isu itu, AKSB atau kerajaan negeri dilaporkan telah menukar paip baru. Namun sejak 2018 hingga kini, ia hanya membabitkan 578.2 kilometer sahaja.

Penukaran baki lebih 3,000 kilometer paip lagi tidak mampu ditanggung oleh kerajaan negeri atau AKSB sehingga kini. Ia memerlukan belanja cukup besar dan pasti memakan tempoh waktu yang panjang.

Bekalan air dan loji

Secara asasnya, bekalan air di Kelantan dalam banyak aspek termasuk faktor geografi tidak mempunyai masalah. Bekalan air adalah daripada sumber semula jadi seperti kawasan tadahan, sungai dan air bawah tanah. Kemudian ia akan dieksploitasi biasanya melalui empangan dan takungan serta diproses di loji rawatan air (LRA) bagi menghasilkan air terawat.

Pimpinan kerajaan Kelantan sebelum ini menegaskan sumber air di negeri itu melebihi keperluan kepenggunaan. Namun yang dilaporkan menjadi halangan kini adalah ketiadaan takungan yang mencukupi untuk menampung bekalan itu, iaitu tiada tempat untuk menyimpan atau menampung bekalan air yang banyak.

Pada September 2017, pihak AKSB dilaporkan merancang untuk membina empangan bawah tanah dan kajian mengenainya mengambil masa sehingga selama enam bulan. Bagaimanapun sehingga kini, tiada kepastian lanjut sejauh mana perkembangannya.

Pada penghujung tahun lalu, Timbalan Menteri Besar Kelantan Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata kerajaan negeri akan membina sebuah takungan besar yang dijangka dapat menyelesaikan isu perbekalan sumber air di negeri itu.

Tuan Ibrahim pula pada tahun lalu turut memperkatakan mengenai projek takungan air pinggiran sungai (Taps) yang menelan belanja RM1.3 bilion .

Katanya, projek yang masih dalam kajian itu membabitkan tiga komponen iaitu Taps, LRA dan pemasangan paip melibatkan tanah seluas 404.6 hektar.

Sementara itu, kekerapan gangguan bekalan air di Kelantan juga disebabkan berlaku kerosakan pada loji-loji utama, sama ada saluran paip utama pecah atau masalah-masalah teknikal lain.

Lebih parah lagi apabila berlaku kerosakan berulang pada loji yang sama, seperti membabitkan Loji Rawatan Air Merbau Chondong yang hampir saban tahun dilaporkan bermasalah.

Antara masalah terbaru dialami pula membabitkan kerosakan kabel elektrik bervoltan tinggi di loji berkenaan.

Selain itu, ada juga masalah yang didakwa membabitkan telaga-telaga jejari yang disediakan pihak AKSB yang dikatakan gagal berfungsi dengan kapasiti sepatutnya.

Walaupun rantaian masalah perbekalan air di Kelantan masih kabur pengakhirannya,pimpinan kerajaan negeri sentiasa menunjukkan sinar harapan.

Mohd Amar

Tuan Ibrahim pula selaku menteri berkaitan pada tahun lalu dilaporkan berkata, sebanyak 33 projek bekalan air sedang dan akan dilaksana di Kelantan dari tahun lalu sehingga 2025, dengan tumpuan kepada dua aspek iaitu pembangunan dan menaik taraf LRA serta pengurangan kadar air tidak terhasil.

Jelasnya, sebanyak 12 projek pembangunan dan menaik taraf LRA akan dilaksanakan melibatkan pembiayaan pinjaman RM176 juta oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) dan dua projek dibiayai oleh kerajaan persekutuan di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), dengan peruntukan keseluruhan berjumlah lebih RM100 juta.

“Antara projek-projek yang sedang dilaksanakan termasuk pembinaan LRA Merbau Chondong, LRA Tanjung Mas, LRA Felda Chiku, LRA Kampungg Telok, LRA Tualang dan 18 projek LRA mini," katanya.

Kenyataan Tuan Ibrahim itu sudah pasti memberikan harapan yang tinggi kepada rakyat Kelantan setelah lebih 30 tahun berada di bawah PAS dalam menyelesaikan masalah asas itu, setelah sekian lama mereka mahukan penyelesaian total dan pengurusan lebih cekap pihak operator air dalam jangka masa secepat mungkin.

Kualiti air

Berhubung masalah bekalan dan kualiti air, kenyataan Mohd Amar dua tahun lalu seperti yang dilaporkan Astro Awani sudah cukup jelas.

"Kita di Kelantan, air ini melebihi keperluan. Dalam tanah, dalam sungai, air hujan semua itu melebihi, cuma kita tak boleh nak simpan, tak ada tempat nak simpan," jelasnya.

Tambahnya, "Air bawah tanah kita banyak, lebih daripada keperluan, tapi tak cukup loji. Bila buat loji, paip pula pecah, jadi kita guna air bawah tanah lebih senang daripada guna air sungai. Masalah air sungai ni, berkeladak."

Katanya lagi, air di bawah tanah pula banyak dengan kandungan besi dan perkara itu juga diakui oleh jurutera. Oleh sebab itulah, ia nampak keruh. Bagaimanapun, air tersebut tidaklah kotor dan masih selamat diminum.

Bila air tersebut dimasukkan klorin, katanya, ia bertindak balas dan menyebabkan ia menjadi keruh.

"Kalau kita buat tab (kolam takungan), kita boleh simpan air dan dari kolam atau tab kita boleh salur ke kawasan yang perlu," jelasnya.

Menurut Mohd Amar, cadangan projek pembinaan kolam takungan terbesar di Kelantan telah mendapat kelulusan Kasa.

Pembinaan kolam yang terletak di Machang itu pula telah dimasukkan ke dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan cadangan dikemukakan dua tahun lepas.

Tambah Mohd Amar lagi, masalah air di Kelantan dapat diselesaikan jika Kelantan mendapat peruntukan mencukupi dianggarkan sebanyak RM7 billion daripada kerajaan pusat.

Jawapan dalam sidang Dun

Menjawab pertanyaan berhubung masalah air di Kelantan dalam sidang DUN Kelantan November tahun lalu, Mohd Amar dilaporkan berkata, dalam tempoh 30 tahun banyak usaha yang telah dilakukan kerajaan negeri, namun kekangan utama yang dialami adalah membabitkan soal kewangan.

Menurut Berita Harian, dia berkata pada asalnya kos untuk menyelesaikan masalah itu sebanyak RM2 bilion, namun kini meningkat kepada RM7 bilion.

"Menerusi projek migrasi air pada 2016, Kelantan sepatutnya menerima peruntukan RM2 bilion daripada kerajaan pusat, namun sayang peruntukan berkenaan tidak turun disebabkan isu teknikal dan politik.

"Justeru pada tahun ini, kos untuk pulihkan bekalan air meningkat kepada RM7 bilion dan kita sentiasa berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat," katanya ketika menjawab soalan tambahan yang dikemukakan Mohd Adhan Kechik (BN-Bukit Bunga).

Dia juga berkata walaupun kerajaan negeri ada dana tersebut, mereka tetap memerlukan masa untuk menyelesaikan masalah itu.

Peranan federalisme dan kerajaan negeri

Meneliti masalah air di Kelantan, semua pihak perlu mengakui yang masalah dan bukan sekadar membuat kerja senang dengan mengalihkan beban kesalahan kepada orang lain.

Namun, realiti sebenar masalah air di Kelantan memang berpunca daripada amalan politik dendam sebuah parti yang menguasai kerajaan terhadap Kelantan.

Dalam kes rumit seperti isu perkhidmatan air yang melibatkan kos berbilion ringgit serta komitmen masa yang panjang, terdapat pembahagian tugas dan skop tugas khusus yang pelbagai yang perlu diteliti antara kerajaan pusat, kerajaan negeri dan syarikat operator air iaitu AKSB.

Pihak kerajaan negeri ada skop dan kemampuannya, pihak AKSB ada skop dan kemampuannya. Begitu juga dengan pihak kerajaan pusat. 

Dalam konteks air Kelantan, beban tanggungjawab utama yang mengambil kira faktor kemampuan terletak pada pihak kerajaan pusat yang diperintah Umno pada ketika dulu, khususnya melibatkan dana.

Namun, kerajaan Kelantan di bawah pimpinan PAS juga mempunyai tanggungjawabnya sendiri yang telah cuba diusahakan sebaik mungkin dalam kapasiti yang ada demi menyediakan bekalan air buat rakyat Kelantan.

Dalam konteks ini, kerajaan negeri berperanan dari sudut penyelarasan gerak kerja menerusi AKSB.

Sejurus setelah Tuan Ibrahim dilantik sebagai Menteri Air dan Alam Sekitar di bawah kerajaan PN, antara langkah besar dilaksanakannya adalah terhadap menyelesaikan isu air di Kelantan.

Terbaru, Kasa telah memberi persetujuan bagi pembinaan takungan air besar di Machang. Dengan pembinaan itu, semua takungan air akan berkumpul di kawasan tersebut dan akan menyelesaikan masalah air di Kelantan. Peruntukan bagi pembinaan itu akan disalurkan oleh kementerian berkenaan melalui RMK-12.

Pasti ramai tertanya kenapa tindakan konkrit hanya dapat dilaksanakan pada tahun kebelakangan ini. Kenapakah tindakan lambat dibuat? Bagaimana pula dengan pinjaman RM600 juta yang pernah ditawarkan kepada Kelantan.

Jawapannya, bukankah selepas 2016 kerajaan Kelantan menyertai projek migrasi air di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Air Nasional (Span)? Semua itu boleh dirujuk pada pautan ini.

Memang tidak boleh dinafikan usaha kerajaan pusat ketika zaman perdana menteri keenam menyediakan pelan dan usaha menyelesaikan isu itu. Ia sememangnya tugas wajib kerajaan pusat waktu itu yang mempunyai kapasiti dana yang sepatutnya. Sudah pasti rakyat Kelantan dan pimpinan PAS menghargai perkara itu.

Namun, janganlah dilupakan sebelum 2016, Kelantan sememangnya dianaktirikan dari sudut naik taraf infrastruktur air. Kesan penangguhan itu juga datang dengan implikasinya yang tersendiri, iaitu kos bagi penyelesaian isu itu akhirnya naik sehingga sekitar RM7 bilion.

Padahal jika dimulakan usaha itu lebih awal, sudah pasti lebih kecil kos yang diperlukan. Janganlah buat-buat lupa implikasi yang perlu ditanggung oleh rakyat Kelantan yang tidak bersalah hasil budaya politik dendam Umno dulu.

Secara realitinya, kerajaan Kelantan mampu mengorak langkah lebih jauh dalam langkah penyelesaian isu air hanya setelah pelantikan Tuan Ibrahim selaku Menteri Air dan Alam Sekitar pada 2020.

Kini setelah Tuan Ibrahim tidak lagi memegang tugas itu dan setelah Kerajaan PN bertukar tangan kepada Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim, kesemua perancangan yang telah dibuat olehnya perlulah diteruskan pula dengan penuh tanggungjawab oleh kerajaan pusat.

Kerajaan pusat perlu bersikap telus dengan konsep dan semangat federalisme dan pembahagian kuasa dengan kerajaan negeri. Hak kerajaan Kelantan serta rakyatnya sebagai salah sebuah negeri di dalam persekutuan Malaysia amat perlu dihormati walaupun berbeza parti agar segalanya berjalan dengan baik demi kepentingan negara dan seluruh rakyat di negara ini.

Tuan Ibrahim

Rakyat Kelantan dan kesemua pihak berharap agar Pelan Induk AKSB 2021-2030 berjalan lancar tanpa sabotaj dan usaha khianat daripada sebarang pihak sepanjang projek itu dijalankan.

Lebih 30 tahun rakyat Kelantan menjadi mangsa politik dendam. Mereka hanya dapat menyaksikan cahaya harapan pasca 2020, setelah PAS menjadi sebahagian kerajaan pusat. Janganlah rakyat Kelantan didera lagi selepas ini.

Kefahaman rakyat Kelantan

Pada masa sama, semua pihak perlu bersikap adil kepada Kelantan. Masalah air sebenarnya bukan hanya berlaku di Kelantan sahaja. Ia juga turut berlaku di negeri-negeri lain, termasuk di Selangor. Kenapa hanya dikatakan di Kelantan sahaja yang mengalami masalah itu, dengan hanya kerajaan negeri sahaja yang dipersalahkan tanpa sedikit pun dilihat kepada pihak lain, terutama kerajaan pusat.

Padahal, realiti sebenar masalah itu cukup difahami majoriti rakyat Kelantan. Sebab itulah majoriti rakyatnya terus mempertahankan kerajaan PAS. Malah tidak keterlaluan untuk mengatakan kerajaan PAS Kelantan tidak akan dapat ditumbangkan dengan isu ini. Sebaliknya, ia akan memperkuatkan lagi sokongan majoriti rakyat Kelantan kepada kerajaan PAS.

Mereka cukup faham dan prihatin dengan kerajaan mereka sendiri, yang tidak akan dipandang baik walaupun beribu perkara baik yang dibuat oleh kerajaan PAS Kelantan. Sebaliknya, PAS dan pimpinannya termasuk pimpinan kerajaan negeri sentiasa berhadapan dengan pelbagai tuduhan dan serangan oleh pihak lawan dan mereka yang bersekongkol dengannya.

Anehnya pula, kadang-kadang, masalah air di Kelantan turut dibangkitkan oleh penduduk di negeri lain. Sedangkan, mereka tidak faham realiti sebenar. Mereka hanya mendengar daripada sumber yang tidak jelas yang penuh dengan putar belit untuk memburukkan kerajaan negeri, lalu tanpa berfikir panjang terus membangkitkannya.

Selain itu, ada juga dari kalangan mereka yang hanya sekali-sekala sahaja pergi ke Kelantan. Apabila berhadapan dengan masalah air yang tidak keluar daripada paip, atau tekanan air yang tidak kuat, atau air berwarna, mereka terus mencanangkan keadaan yang teruk di negeri itu dan memburukkan kerajaan negeri tanpa memahami realiti sebenar.

Seluruh pihak pasti masih ingat, sebelum ini pimpinan kerajaan PAS Kelantan pernah dituduh dan berhadapan dengan pelbagai tuduhan penyelewengan, salah guna kuasa, dan pelbagai tuduhan lain. Setakat ini, tiada pendakwaan dibuat terhadap pimpinan kerajaan negeri.

Malah, pimpinan kerajaan negeri pula yang amat mengalu-alukan pihak-pihak yang bertanggungjawab melakukan penyiasatan apabila timbul sahaja tuduhan-tuduhan jahat itu, bagi membuktikan kebersihan dan ketelusan mereka.

Ketika kerajaan PAS Kelantan mula mengambil alih kepimpinan kerajaan negeri lebih 30 tahun lalu, sejajar dengan kedudukan negeri itu sebagai antara negeri miskin di negara ini, rakyat Kelantan diperkatakan oleh pelbagai pihak akan kelaparan dan mungkin akan mati kebuluran di bawah PAS.

Mereka bercakap tanpa melihat, tanpa mengetahui realiti yang sebenar. Di sebalik kata-kata itu, rakyat Kelantan terus mewah makan minum dan pakainya. Kini kata-kata seperti itu tidak kedengaran lagi. Malah, orang ramai memuji pula Kelantan sebagai negeri yang mewah dengan pelbagai makanan enak dengan harga lebih murah berbanding negeri-negeri lain.

Kini isu air pula yang menggantikan cakap-cakap yang tidak berasas itu. Namun jika isu itu terus dibangkitkan oleh pihak lawan, padahnya pasti akan berbalik kepada pihak yang mencanangnya. Di sebalik pelbagai putar belit yang diketengahkan, majoriti rakyat Kelantan sendiri sudah cukup faham dengan isu tersebut.


AZIZ MUDA adalah bekas wartawan Harakah.

Artikel ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.