Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

Sumber: SPRM bawa pulang individu didakwa sekutu Jho Low

Seorang individu didakwa sebagai sekutu ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho telah dibawa pulang ke Malaysia selepas meninggalkan negara lima tahun lalu, menurut sumber.

Sumber itu berkata, individu itu tiba di KLIA2 sekitar jam 3.30 pagi dua hari lalu bagi membantu siasatan SPRM terhadap skandal 1MDB.

Kata sumber lagi, sebaik tiba di KLIA2, notis arahan diserahkan kepadanya untuk ke ibu pejabat SPRM di Putrajaya pada jam 10 pagi hari yang sama.

"Pegawai SPRM telah merakam keterangan (suspek) dan menggeledah rumahnya pada hari yang sama.

"Hasil siasatan menunjukkan dia dipercayai telah menerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan SRC menerusi akaun syarikat bernama Wright Shaw Limited," katanya.

Sumber berkata, kepulangan individu itu adalah hasil kerjasama SPRM dengan pihak berkuasa di luar negara, sebagai sebahagian daripada siasatan terhadap dakwaan dia menerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB dan bekas subsidiarinya, SRC International Sdn Bhd.

Menurutnya, sebelum ini SPRM dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura dilaporkan berjaya menyita akaun Wright Shaw Limited melibatkan dana AS$5.2 juta.

"Selain itu, siasatan juga membuktikan (suspek) menerima wang yang diselewengkan daripada 1MDB menerusi Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M)," kata sumber itu lagi.

Sumber itu mendedahkan pada 26 April lalu, SPRM dengan kerjasama CAD Singapura berjaya membawa pulang kira-kira RM16 juta daripada Totality Limited, yang merupakan syarikat milik suspek.

Katanya, suspek bekerja dengan 1MDB sejak 2012 hingga 2013, dan dia juga terlibat seawal 2011 apabila syarikat itu masih dikenali sebagai Terengganu Investment Authority (TIA) dan belum diambil alih kerajaan persekutuan.

"Konspirasi yang dibuat adalah untuk memperdaya bank dan menutup fakta-fakta tertentu daripada lembaga pengarah 1MDB untuk memindahkan AS$700 juta kepada Good Star Limited milik Jho Low," kata sumber.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki untuk mendapatkan maklum balas berkenaan perkara ini.

Bekas perdana menteri Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun setelah disabit bersalah dalam kes rasuah SRC International melibatkan dana sebanyak RM42 juta.

Dia juga sedang dibicarakan dalam kes rasuah melibatkan dana 1MDB berjumlah RM2.28 bilion.

1MDB dan SRC International adalah milik penuh Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD).

Pihak berkuasa Malaysia masih dalam usaha mengesan Jho Low dan beberapa lagi sekutunya bagi membantu siasatan.

[Baca berita asal]