Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

SAR tiga kru kapal hilang: APMM mohon bantuan Basarnas

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) memohon bantuan Badan Nasional Pencarian dan Pertolongan (Basarnas), Indonesia untuk mengesan tiga kru kapal MT Pablo yang masih hilang selepas kapal itu terbakar pada Isnin lepas.

Pengarah Maritim Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata ia berikutan ada kemungkinan ketiga-tiga mangsa hanyut memasuki perairan Tanjung Pinang, Indonesia berdasarkan simulasi daripada Sistem Perancangan Optimal Mencari dan Menyelamat (SAROPS).

"Pihak Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Johor Bahru telah memaklumkan kepada pihak Pusat Koordinasi Mencari dan Menyelamat (MRCC) Putrajaya untuk memohon bantuan daripada pihak Basarnas," katanya menerusi kenyataan malam ini.

Beliau berkata setakat ini pencarian dalam kapal tangki itu belum dimulakan berikutan penilaian masih menunjukkan keadaan kapal tidak selamat untuk Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) memulakan operasi pencarian.

Bagaimanapun beliau berkata kapal KD Pendekar milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) selaku Penyelaras di Tempat Kejadian (OSC) dan kapal MV Polaris dari Jabatan Laut Malaysia telah melakukan usaha semburan air di bahagian badan kapal tangki terbabit.

Nurul Hizam berkata pada masa sama usaha pencarian di laut turut dibantu sebuah bot ronda Pasukan Polis Marin dan dua bot ronda milik APMM dengan keluasan sektor pencarian adalah 393 batu nautika persegi.

Ketiga-tiga kru kapal terbabit dikenal pasti sebagai warganegara India iaitu Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, manakala seorang lagi warga Ukraine iaitu Sabit Shenderovskyi, 37.

Kapal tangki MT Pablo berdaftar di Gabon, Afrika terbakar kira-kira 50 peratus pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili di Kota Tinggi pada 1 Mei lepas.

- Bernama