Bank Negara naikkan OPR kepada tiga peratus
Bank Negara Malaysia (BNM) telah menaikkan kadar dasar semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.00 peratus, menandakan kembalinya kepada kadar faedah sebelum pandemik.
Bank pusat itu berkata kadar siling dan tingkat lantai koridor OPR juga meningkat masing-masing kepada 3.25 peratus dan 2.75 peratus.
OPR mewakili kadar faedah minimum yang dikenakan di kalangan bank untuk pinjaman antara bank dan ia ditetapkan oleh BNM.
Ia antara alat yang digunakan bank pusat ini untuk menggubal dasar kewangan bagi mengawal bekalan wang negara dan mempengaruhi hala tuju ekonomi.
BNM dalam satu kenyataan berkata ekonomi global terus didorong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang mantap dan pemulihan ekonomi China yang lebih baik daripada jangkaan.
“Bagaimanapun, ekonomi global terus terjejas oleh tekanan kos dan kadar faedah yang lebih tinggi. Inflasi keseluruhan menurun namun inflasi teras terus melebihi purata yang pernah dicatatkan sebelum ini.
“Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat.
‘Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya oleh ketegangan geopolitik yang semakin meruncing, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara ketara termasuk berikutan tekanan yang berterusan dalam sektor perbankan,” kata bank pusat itu lagi.
Walaupun inflasi dijangka menjadi sederhana, inflasi teras akan kekal pada paras tinggi dalam keadaan permintaan yang kukuh, katanya.
Dengan prospek pertumbuhan domestik yang kekal berdaya tahan, BNM berkata penilaian Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) menunjukkan sudah tiba masanya untuk menormalkan lagi dasar kewangan negara.
Indeks harga pengguna pada Mac meningkat 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya, kadar paling perlahan dalam sembilan bulan, menurut data kerajaan.
Bank pusat itu meramalkan inflasi secara purata antara 2.8 peratus ke 3.8 peratus pada 2023, berbanding 3.3 peratus pada tahun lepas.
Ekonomi Malaysia dijangka berkembang empat peratus ke lima peratus pada tahun ini, kata BNM.
Sejak 2011 hingga 2019, OPR berkadar antara 2.75 peratus kepada 3.25 peratus. Namun bermula 2020, BNM mula menurunkan kadar itu di tengah wabak Covid-19 yang menjejaskan ekonomi global.
BNM sebelum ini berkata pengurangan OPR kepada 1.75 peratus ketika pandemik - terendah dalam sejarah - adalah untuk menyokong ekonomi ekoran wabak Covid-19 yang melanda.
Pengurangan itu membolehkan pinjaman yang lebih murah agar perniagaan mampu membuat bayaran untuk mengekalkan perniagaan mereka. Ia juga membantu perniagaan yang bermasalah dengan mengurangkan kadar pembayaran pinjaman mereka.
Namun dengan ekonomi domestik kian stabil, BNM memutuskan untuk mengurangkan sokongan ini.
BACA BERKAITAN:
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai