Logo Malaysiakini
Artikel ini sudah setahun diterbitkan

7,800 hektar sawah padi Kada terjejas cuaca panas

Sejumlah 7,800 daripada keseluruhan 26,833 hektar tanaman padi di bawah Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (Kada) terjejas ekoran cuaca panas dan kemarau yang berlaku di negeri ini.

Pengurus Besar Kada Mohd Faizul Mustafa berkata antara jajahan yang terlibat ialah Pasir Puteh, Bachok, Pasir Mas, Kota Bharu Utara dan Kota Bharu Selatan.

"Penanaman padi musim kedua 2022 bermula Disember tahun lepas dan dituai sepanjang April tahun ini agak terjejas kerana terkesan dengan peralihan monsun. Daripada tinjauan yang dilakukan, kami dapati kira-kira 390 petani terkesan dengan masalah ini," katanya kepada Bernama, di Kota Bharu hari ini.

Mohd Fairuz berkata cuaca panas yang berpanjangan sangat memberi kesan kepada tanaman padi kerana menyebabkan air di dalam sawah semakin berkurangan dan seterusnya tanah sawah menjadi kering.

Katanya keadaan itu akan menjejaskan perkembangan pokok padi dan apabila keadaan menjadi semakin teruk, pokok padi akan terbantut dan buah menjadi hampa atau tidak berisi.

Mohd Fairuz berkata cuaca panas juga menyebabkan sumber air menjadi terhad dan pembekalan air ke sawah terpaksa dilaksanakan mengikut penggiliran.

"Dalam keadaan ini, pokok padi yang memerlukan air untuk tumbuh dan membentuk tangkai terganggu dan penghasilan padi akan terjejas sekali gus mengurangkan kualiti hasil pertanian selain menjejaskan pendapatan petani," katanya.

Katanya, Kada telah mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan petani tidak mengalami kerugian yang lebih besar termasuk membekalkan pam bergerak di kawasan terjejas, mengenal pasti lokasi yang ada sumber air bawah tanah untuk dialirkan keluar menerusi telaga tiub dan membekalkan bahan api diesel kepada pam-pam yang berdaftar dengan Kada.

Sementara itu katanya, Kada telah merangka beberapa pendekatan tambahan sebagai persediaan untuk musim pertama tanaman padi Mei tahun ini.

Antaranya menggunakan segala kemudahan pengairan yang ada bagi membekalkan air lebih optimum ke bendang-bendang padi, menyesuaikan jadual bekalan air di samping melaksanakan kerja-kerja pembuangan lumpur di tali air dan struktur-struktur utama bagi melancarkan aliran air ke sawah.

- Bernama